Jumaat, 30 April 2021

Pelajar IPT balik Kelantan perlu jalani pengasingan enam hari

 Oleh NOR IDAYU BOSRO

KPT bagaimanapun mengingatkan bahawa kebenaran merentas daerah dan negeri untuk pulang beraya hanya diberikan untuk pelajar sahaja dan tidak termasuk ahli keluarganya. - Gambar Hiasan

PUTRAJAYA – Pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) yang akan pulang beraya ke kawasan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Kelantan perlu menjalani pengasingan kendiri di kediaman masing-masing selama enam hari.

Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) berkata, semua pelajar terbabit juga perlu menjalani proses pengasingan di kampus sekembalinya mereka dari kawasan yang dikenakan penguatkuasaan PKP.

Bagi pelajar yang memasuki Sabah, KPT berkata, mereka diwajibkan menjalani ujian calitan RT-PCR atau RTK-Ag dalam tempoh tiga hari sebelum memulakan pergerakan ke negeri itu.

“Hanya pelajar yang memasuki Sabah perlu menjalani ujian calitan dan ia tertakluk kepada arahan semasa kerajaan negeri.

“Segala kos pergerakan pulang dan kembali ke kampus, termasuk bagi menjalani ujian calitan adalah di bawah tanggungan pelajar sendiri,” katanya dalam kenyataan soalan lazim Pergerakan Pulang Pelajar IPT sempena Hari Raya Aidilfitri yang dikeluarkan hari ini.

Sementara itu, KPT berkata, pelajar IPT yang menjalani latihan industri dibenarkan pulang dan kembali semula ke tempat latihan mereka selepas tamat cuti Aidilfitri.

“Kebenaran pulang dan kembali ke universiti ini juga melibatkan pelajar yang menetap di luar atau sekitar kampus dengan pematuhan terhadap prosedur operasi standard yang sama,” katanya.

Dalam pada itu, KPT mengingatkan kebenaran merentas daerah dan negeri untuk pulang beraya hanya diberikan untuk pelajar sahaja dan tidak termasuk ahli keluarganya.

Kosmo! hari ini melaporkan kira-kira 103,994 pelajar IPT yang berada di kampus masing-masing boleh menarik nafas lega selepas dibenarkan pulang ke rumah masing-masing sempena cuti Hari Raya Aildilfitri kecuali negeri Sarawak.

Para pelajar boleh pulang ke rumah masing-masing mulai 7 hingga 12 Mei, manakala pergerakan pelajar kembali ke kampus ialah pada 15 hingga 20 Mei depan. – K!ONLINE

Tiada ulasan: