Rabu, 28 April 2021

Tidak benar tak boleh rentas daerah pada Aidilfitri

ISMAIL SABRI foto FACEBOOK MKN

ADA mesej disebarkan yang bukan sahaja pergerakan rentas negeri tidak dibenarkan, malah rentas daerah juga akan dilarang pada musim perayaan Aidilfitri.

Kononnya larangan pergerakan rentas daerah akan dikuatkuasakan lima hari sebelum 1 Syawal dan lima hari selepasnya sebagai sebahagian daripada prosedur operasi standard (SOP) Aidilfitri.

Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang ditanya perkara itu pada sidang medianya hari ini berkata, ia tidak benar sama sekali.

Kata Menteri Kanan Pertahanan itu, malah beliau juga tidak pernah mengumumkan apa-apa SOP Aidilfitri setakat ini.

Jelas Ismail Sabri, SOP Aidilfitri yang masih diperincikan jabatan terlibat adalah mengenai acara sambutan seperti SOP solat sunat Aidilfitri, kunjung-mengunjung, ziarah kubur dan sebagainya.

“Berhubung rentas daerah tidak dibenarkan, itu tidak benar sama sekali,” katanya.

Tambah Ismail Sabri, SOP sambutan Aidilfitri yang sepatutnya diumum hari ini akan dimaklumkan sebaik sahaja dimuktamadkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Pada masa sama katanya, ketika ini pergerakan rentas negeri masih tidak dibenarkan walaupun rentas daerah dibenarkan.

Pada sidang akhbar itu, Ismail Sabri juga memaklumkan kesemua 10 jajahan di Kelantan diletakkan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) hingga 17 Mei berikutan trend pertambahan kes yang tinggi.

Katanya, Selangor, Kuala Lumpur, Johor, Pulau Pinang dan Sarawak pula kekal sebagai negeri PKPB.

“Perlis, Kedah, Perak, Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Terengganu, Putrajaya dan Labuan pula kekal Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) hingga 17 Mei.

“Sabah juga daripada negeri PKPP kepada PKPB susulan kes-kes baru yang dilaporkan,” jelasnya.

Dalam sidang akhbar itu, Ismail Sabri maklumkan PKPD di Felda Umas Kalabakan, Sabah dan SMK Ulu Balingian, Sibu, Sarawak akan dilaksanakan berkuat kuasa esok hingga 11 Mei ini.

PKPD di Kampung Baru Pasir Putih, Tawau pula dilanjutkan sehingga 12 Mei.

Tiada ulasan: