Selasa, 27 April 2021

Pokok kurma Kelantan berbuah lebat

Oleh TOREK SULONG
ZULKIFLE Ali menunjukkan pokok kurma Ajwa yang mula berbuah 
di halaman rumahnya di Alor Hijau, Pasir Puteh, Kelantan. – 
UTUSAN/TOREK SULONG

PASIR PUTEH: Ramadan ini lebih istimewa bagi bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seli­sing, Zulkifle Ali apabila dua daripada 13 pokok kurma Ajwa yang ditanam di halaman rumahnya di Alor Hijau, di sini empat tahun lalu berbuah lebat.

Menurut Zulkifle, pokok-po­kok kurma tersebut pada mulanya hanya ditanam bagi tujuan hiasan, namun, sebahagian daripadanya mengeluarkan buah buat pertama kali pada Ramadan tahun lalu.

“Tahun ini, dua daripada pokok itu mula berbunga sekali lagi pada bulan Rejab lalu dan masuk sahaja bulan Ramadan, empat daripada mayang pokok-pokok tersebut sudah mengeluarkan gugusan buah yang lebat.

Buat masa sekarang, buah kurma ini masih hijau dan mungkin mengambil masa dalam dua bulan lagi untuk masak dan boleh dipetik,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di rumahnya yang digelar Darul Nur Sya semalam.

Menurut Zulkifle, kesuburan pokok kurma bergantung kepada keadaan cuaca iaitu keada­an panas terik dan kemarau panjang sebagaimana dialami di Kelantan ketika ini.

“Pokok kurma mempunyai jantina iaitu ada pokok jantan dan pokok betina. Kedua-dua jenis pokok menghasilkan bunga tetapi tidak menghasilkan sebarang aroma untuk menarik serangga bertindak sebagai agen pendebungaan.

“Pencantuman bunga jantan dan betina mesti dilakukan sendiri bermula tiga hingga 30 hari setelah bunga-bunga betina keluar dari mayang pokok,” katanya sambil memberitahu hanya pokok kurma betina berbuah manakala pokok jantan hanya membekalkan debunga sahaja.

Bagi mengelak mayang dipenuhi buah tersebut patah atau buah gugur sebelum matang, Zulkifle mengikat semua tangkai utama kurma dengan tali kepada pelepah yang berdekatan bagi menampung beratnya .

“Pada tahun lalu, buah kurma yang masak saya bahagi-bahagikan kepada saudara dan jiran terdekat untuk sama-sama menikmati kemanisan buah kurma sunnah Rasulullah ini.

“Pokok kurma berbuah ha­nya setahun sekali dan Ramadan kali ini memberi kegembiraan kepada saya sekeluarga kerana kami sekali lagi dikurniakan rezeki buah yang lebat oleh Allah SWT,” katanya.- UTUSAN ONLINE

Tiada ulasan: