Isnin, 26 April 2021

Pengarah ditemui mati tergantung di biliknya

Kumara Sabapatty
MGD13112018_PDRM_06
Seorang lelaki tempatan ditemui mati tergantung pada kipas di kediaman sewanya di Jalan Air Panas, Setapak di sini semalam.- Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Seorang lelaki tempatan ditemui mati tergantung pada kipas di kediaman sewanya di Jalan Air Panas, Setapak di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintendan Ashari Abu Samah berkata, pihaknya dimaklumkan mengenai kejadian kira-kira 7.30 malam.

Polis terpaksa meminta bantuan Jabatan Bomba dan Penyelamat untuk memecah pintu bilik mangsa yang terkunci dari dalam, katanya.

“Ketika ditemui, mangsa dalam keadaan tergantung pada kipas di dalam bilik,” katanya ketika dihubungi malam ini.

Ashari menambah, pasukan paramedik yang tiba di lokasi kejadian memeriksa dan mengesahkan mangsa telah meninggal dunia.

Berdasarkan maklumat awal daripada saksi yang juga rakannya, mangsa sebelum itu mengatakan tidak mahu diganggu dan ingin bersendirian di dalam bilik dan mengarahnya tidur di ruang tamu.

“Rakannya yang risau kerana tiada maklumbalas dari mangsa semasa mengetuk bilik yang didapati dikunci dari dalam selepas pulang dari kerja sebelum melihat menerusi lubang bawah pintu lalu terkejut melihat dua kaki mendiang terapung di atas sebelum menjerit meminta tolong.

“Hasil siasatan pada tubuh badan dan tempat kejadian juga tiada sebarang unsur jenayah ditemui dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” ujar beliau.

Mayat mangsa telah dibawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk bedah siasat.

Sebelum ini iaitu kira-kira dua hari sebelum kejadian, mngsa yang juga seorang pengarah satu program berusia 32 tahun itu telah memuat naik sebuah video berdurasi 5.03 minit dalam Instagramnya.

Dalam rakaman berkapsyen official announcement, mangsa mendedahkan dirinya berdepan dengan masalah kewangan ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 1.0 yang memaksanya berhutang.

Pun begitu, dia menyatakan yang dia berjaya keluar daripada kemelut itu sebelum mendapat tawaran bekerja pada PKP 2.0.

Namun demikian, katanya, ia tidak begitu mendatangkan ‘hasil’ yang diharapkan.

“Apabila saya mengambil keputusan untuk bergerak secara berdikari, produser tidak banyak memberi kerjasama sehingga saya terpaksa berhutang. Tapi saya tetap berdepan semua masalah itu dan tidak lari, menyembunyikan diri,” ucapnya dalam video berkenan.

Mendiang pernah mengarah lebih 500 program meliputi pelbagai bahasa termasuk Tamil, Melayu, Telugu, Punjabi, Inggeris dan Mandarin.

“Saya ingin mengumumkan secara rasmi bahawa saya akan mengeluarkan sebuah video muzik kepada mereka yang memberi sokongan sepanjang 15 tahun karier saya. Ini merupakan projek terakhir saya sebagai pengarah.

“I’m officially signing off,” katanya sebelum mengakhiri video tersebut.-MalaysiaGazette

Tiada ulasan: