Selasa, 27 April 2021

Neelofa, keluarga didenda RM60,000 kerana gagal patuh SOP Covid-19

Staff Writers  MALAYSIA NOW

Kompaun tersebut dikenakan selepas Neelofa dan tetamu gagal memastikan wujud penjarakan fizikal ketika majlis perkahwinan mereka.

Pelakon dan usahawan Noor Neelofa Mohd Noor dan 20 ahli keluarganya dikenakan kompaun sebanyak RM60,000 tanpa diskaun kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) Covid-19, kata polis hari ini.

Neefola dikenakan kompaun sebanyak RM20,000 kerana gagal mengikut SOP kesihatan semasa majlis perkahwinannya termasuk melanggar syarat kebenaran rentas negeri dikeluarkan polis.

Sementara suaminya, Muhammad Haris Ismail yang juga dikenali sebagai “PU Riz” turut dikenakan kompaun sebanyak RM10,000 tanpa diskaun kerana kesalahan sama melanggar syarat kebenaran rentas negeri.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Mohamad Zainal Abdullah berkata kompaun tersebut dikenakan atas dasar Neelofa dan tetamu majlis gagal memastikan wujud penjarakan fizikal sekurang-kurangnya satu meter sewaktu majlis akad nikah berlangsung di hotel Grand Hyatt, Kuala Lumpur pada 27 Mac lalu.

Zainal berkata, seramai 20 ahli keluarga Neelofa juga turut dikenakan kompaun sebanyak RM1500 seorang kerana gagal mematuhi SOP penjarakan fizikal sewaktu majlis akad nikah.

Kompaun bagi semua yang terbabit akan dikeluarkan mulai 27 April.

“Jumlah keseluruhan kompaun adalah sebanyak RM60,000.

“Justeru, pihak PDRM menasihati orang ramai supaya terus mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB),” katanya.

Tiada ulasan: