Jumaat, 23 April 2021

Melaka kompaun sekolah cetus penularan baru Covid-19

Oleh DIYANATUL ATIQAH ZAKARYA
RAHMAD MARIMAN

MELAKA: Jabatan Kesihatan negeri tidak akan mengecualikan pihak pengurusan sekolah dan akan mengenakan tindakan kompaun sekiranya mendapati berlaku pengabaian prosedur operasi standard (SOP) sehingga menyebabkan peningkatan kes Covid-19.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Anti Dadah negeri, Datuk Rahmad Mariman berkata, ia susulan berlaku peningkatan kes positif dalam kalangan pelajar termasuk kejadian 37 pelajar kolej vokasional yang disahkan positif Covid-19, semalam.

Katanya, daripada jumlah tersebut, 18 pelajar adalah kontak rapat kes import B, iaitu seorang pelajar lelaki yang bergejala dan pulang ke institusi pengajian itu dari kawasan zon merah.

“Semalam, kita merekodkan peningkatan 63 kes, dengan 37 kes daripada Kluster Pengkalan Batik, iaitu kes di kolej berkenaan yang berpunca dari kes import B.

“Kesemua pelajar berusia 16 hingga 17 tahun itu disahkan positif disebabkan pergaulan rapat di asrama tanpa mempratikkan prosedur operasi standard SOP, ” katanya ketika sidang akhbar di Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (Japerun) Ayer Molek di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau memberitahu, hari ini sebuah kelas di Sekolah Kebangsaan (SK) Bertam turut diarahkan tutup serta-merta selepas salah seorang murid didapati positif Covid-19 hasil ujian Kit Ujian Rapid Antigen (RTK-Ag).

“Kita telah mengarahkan kesemua 38 murid kelas tersebut pulang ke rumah masing-masing dan pihak Jabatan Kesihatan masih menunggu keputusan calitan Real-Time Reverse Transcription-Polymerase Chain Reaction (RT-PCR) murid terbabit.

“Murid terbabit dikesan positif ketika sedang mendapatkan rawatan di Hospital Melaka dan punca jangkitan masih dalam siasatan sama ada ia melibatkan kes import B atau tidak,” jelasnya.

Ujarnya lagi, tindakan kompaun terhadap sekolah itu akan diambil seperti mana dikenakan terhadap individu atau pihak-pihak lain sekiranya didapati berlaku pengabaian SOP.

“Ini bukan satu tindakan berat sebelah atau sebagainya, tetapi berdasarkan peruntukan undang-undang bagi mengekang penularan pandemik Covid-19 di negeri ini khususnya, apatah lagi berpunca daripada kes import B.

“Pada 20 April lalu, 19 kes positif direkodkan di negeri ini dan 15 kes adalah kontak rapat kes import B. Perkara ini amat membimbangkan kerana kita lihat kebanyakan kes positif yang berlaku di negeri ini berpunca daripada kes import B,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tiada ulasan: