KOTA BHARU: Seorang peniaga burger meluahkan rasa kecewa apabila mendakwa dikenakan kompaun RM50,000 oleh pihak polis bagi kesalahan berniaga melebihi waktu ditetapkan.
Wan Mohd Faisal Wan Kadir, 38, yang menjalankan perniagaan itu di hadapan rumahnya di Kampung Rambutan Rendang, di sini, memaklumkan dia didatangi beberapa anggota polis ketika sedang menyiapkan tempahan pelanggan jam 11.10 malam.
Polis kemudian mengeluarkan kompaun RM50,000 bagi kesalahan berniaga melebihi had masa dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
"Ketika itu tiada seorang pelanggan di kedai dan saya sedang menyiapkan tempahan daripada pekerja kilang.
"Memang saya belum menutup kedai namun meja sudah disimpan. Saya hanya menyiapkan pesanan untuk dihantar kepada pekerja kilang. Saya agak terkejut apabila dikenakan kompaun setinggi itu hanya untuk kesalahan ini. Sudahlah musim PKP, berniaga pun bukannya laris sebagaimana seperti sebelum ini," katanya ketika dihubungi.
Anggota polis yang hadir ada memaklumkan terdapat laporan daripada pihak tertentu yang mengatakan kedai burger miliknya beroperasi lebih masa yang ditetapkan.
"Anggota polis itu juga memberitahu, kompaun sejumlah itu dikenakan kerana kes berulang. Memang ketika PKP sebelum ini saya sudah dikenakan kompaun RM1,000, juga berkaitan kesalahan sama.
"Namun saya tidak menyangka kali ini dikenakan hingga RM50,000. Sudah tentu saya tidak mampu membayarnya kerana pendapatan saya hanya dengan menjual burger. Saya merayu agar kompaun ini dipertimbangkan semula, jumlah ini memang terlalu tinggi daripada kemampuan saya," katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisoner Abdul Rahim Daud ketika dihubungi mengesahkan kes kompaun berkenaan.
Katanya, untuk kompaun kedai yang berniaga lebih masa atau membuka meja untuk pelanggan atau tidak menyediakan penyukat suhu, memang jumlah kompaun pada kertas saman ditulis RM50,000 iaitu jumlah maksimum.
"Bagi kesalahan individu akan ditulis jumlah maksimum RM10,000. Bagaimanapun, peniaga berkenaan boleh membuat rayuan kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). Itu cuma dinyatakan jumlah maksimun," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan