Khamis, 29 April 2021

Salmah berjaya jadi usahawan madu kelulut selepas rugi

 Oleh IVAN AMIRUL

Salmah menunjukkan produk madu kelulut yang diusahakannya di bawah jenama Nikmah di Tuaran baru-baru ini.

TUARAN – Pernah mengalami kerugian sehingga mencecah RM50,000 ketika mula terlibat dalam perniagaan madu kelulut, di Bukit Payung, Telipok dekat sini, Salmah Singa tekad untuk bangkit semula sehingga berjaya dalam perniagaannya.

Menurut beliau, ladang ternakan kelulut yang diusahakan bersama suaminya sejak tahun 2015 itu kini memiliki lebih daripada 5,000 sarang kelulut berbanding hanya 60 sarang sebelum ini.

Lebih menarik, jumlah ladang madu kelulut juga bertambah kepada sembilan dan kini telah berjaya menghasilkan tuaian hampir satu tan liter setiap bulan.

Memasarkan madu kelulut di bawah jenama Nikmah, Salmah, 53, menjelaskan, minatnya terhadap perniagaan madu kelulut bermula setelah melihat keberkesanan madu sebagai alternatif untuk membantu mengurangkan penyakit asma yang dihidapi suami dan anak lelakinya.


“Saya sendiri mengalami masalah resdung sehingga sukar untuk tidur dan selepas melihat kebaikan madu kelulut, saya turut mengamalkannya,” kata beliau ketika ditemui di sini baru-baru ini.

Mengimbau perjalanan perniagaan yang diusahakan, ibu kepada tiga cahaya mata itu mengakui pernah berputus asa sebelum ini selepas 60 sarang kelulut yang diusahakan terpaksa dimusnahkan selepas diserang penyakit.

“Kerugian sekitar RM50,000 itu ibarat tamparan hebat buat saya dan keluarga.

“Selain daripada pinjaman yang berterusan, AIM melalui Unit Pembangunan Usahawan menyediakan latihan dan bimbingan secara percuma.

“Saya mengambil masa kira-kira tujuh bulan untuk kembali bangkit bagi membangunkan semula ladang kelulut yang diusahakan,” katanya.

Mengulas lanjut,Salmah berkata, madu kelulut asli Nikmah ditawarkan pada harga antara RM35 sehingga RM200 mengikut saiz botol.

Salmah yang merupakan seorang Sahabat AIM memberitahu, institusi itu banyak membantunya dalam mengembangkan perniagaan sejak mula berniaga menjual ayam, daging dan sayur-sayuran pada tahun 2002.

“Pinjaman permulaan pada waktu itu hanya RM500 sebelum saya mengambil keputusan membuat pinjaman sebanyak RM5,000 untuk memulakan ladang ternakan kelulut pada hujung tahun 2015.

“Selepas mengalami kerugian dan bangkit semula, saya sekali lagi membuat pinjaman sebanyak RM10,000 untuk membangunkan semula ladang dan perniagaan madu kelulut. -K! ONLINE.

Tiada ulasan: