Jumaat, 30 April 2021

Pelajar pilih PdP, belajar lebih fokus, bendung keciciran

Murid SK Perempuan Methodist, Kuantan sedang mengikuti PdP di kelas dengan mematuhi SOP. – UTUSAN/AINAL MARHATON ABD. GHANI

KUANTAN: Masalah keciciran dalam kalangan pelajar boleh dibendung melalui pelaksanaan proses Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) secara bersemuka berbanding Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

Malah, kaedah PdP secara bersemuka lebih diminati oleh para pelajar kerana ia membolehkan mereka lebih fokus ketika guru mengajar dalam kelas.

Selain itu, pelajar juga boleh berinteraksi secara berdepan dengan guru dan dapat menyelesaikan masalah pembejalaran dengan lebih cepat.

Mengambil kira faktor di atas, maka tidak hairanlah rata-rata guru, murid dan ibu bapa yang ditemui menyatakan, PdP wajar diteruskan kerana ia lebih berkesan berbanding PdPR dalam meningkatkan kecemerlangan pelajar.

Guru Besar Sekolah Kebangsaan (SK) Perempuan Methodist, Datin Nooraziza Sabarudin berkata, PdP wajar diteruskan kerana sesi persekolahan dijalankan mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) seperti ditetapkan oleh Kementerian Pendidikan.

Menurutnya, jika sekolah ditutup lagi, banyak perkara tidak dapat diteruskan termasuk menilai kemenjadian murid.

“Sebagai contoh, murid Tahun 2 hari ini bersekolah secara bersemuka srhingga pertengahan Mac 2020 sahaja dan selebihnya menerusi PdPR. Sejauh mana pencapaian mereka ketika mengikuti kelas online perlu dikaji semula.

“Justeru, jika PdP diteruskan, banyak masalah dapat diselesaikan terutama disegi penguasaan membaca, menulis dan mengira Tahap 1,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Seorang guru,  Siti Mariam Shaikh Mohamad amat berharap kaedah bersemuka diteruskan  dengan mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

“Murid sekolah rendah lebih sesuai dengan Pdp bersemuka kerana mereka masih dalam peringkat mengenal fakta asas dan perlu pemantauan secara langsung daripada guru,” katanya.

Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah berkenaan, Khairul Anuwar Abu Bakar berkata, kegagalan ibu bapa menyediakan keperluan pembelajaran di rumah seperti telefon bimbit dan laptop secara tidak langsung menyumbang kepada kegagalan pelajar mengikuti kelas atas talian secara tersusun.

“Selain itu ketiadaan pengawasan sepenuhnya daripada ibubapa juga menyumbang kepada kegagalan PdPR walaupun tidak sepenuhnya,” katanya.

Guru tuisyen, Fidelia Sawai Horne turut bersetuju PdP diteruskan bagi membantu anaknya, Leah Marie Horne, 10, memperbaiki subjek Bahasa Melayu.

“Selalunya dia tidak menyiapkan tugasan yang diberikan dan enggan menyertai kelas atas talian,” kata ibu kepada dua anak itu.

Sementara itu, beberapa murid yang ditemui mengakui kaedah PdP lebih baik kerana mereka boleh berinteraksi secara berdepan dengan guru dan dapat menyelesaikan masalah dengan lebih cepat.

Bagi S. Jayani, kaedah PdP wajar diteruskan kerana dia lebih suka belajar bersama rakan dan boleh bersoal jawab secara langsung ketika berada di sekolah.

Murid Tahun Enam Sekolah Kebangsaan (SK) Perempuan Methodist itu mengakui fokusnya berkurangan ketika mengikuti pembelajaran secara PdPR.

“Saya mahu PdP diteruskan supaya saya ada banyak masa di sekolah bermain dan belajar bersama kawan-kawan.

“Di rumah, saya tidak boleh menonton televisyen atau menggunakan telefon bimbit kecuali dengan izin mak dan ayah untuk mengikuti kelas dalam talian dan ia sangat membosankan saya,” kata anak sulung daripada dua beradik itu.

Rakannya, Wan Altaf Qaisara Wan Sharuzi, 12, pula berkata, dia dan empat adiknya terpaksa mengguna komputer secara bergilir ketika pelaksanaan PdPR.

“Memang sukar belajar di rumah kerana kerap diganggu oleh adik-adik terutama ketika mengikuti kelas secara dalam talian menyebabkan tumpuan kepada guru jadi berkurangan.

“Saya harap PdP dapat diteruskan kerana saya lagi suka belajar di sekolah sebab kalau tak faham boleh tanya guru dan kawan,” kata penerima Anugerah Nilam 2020 peringkat daerah Kuantan itu.

Leah Marie Horne, 10, juga lebih berminat mengikuti sesi persekolahan secara bersemuka kerana lebih mudah berinteraksi dengan guru-guru dan rakan-rakan.

“Saya perlu perbaiki subjek Bahasa Melayu kerana agak lemah. Saya bimbang jika PdPR dilaksanakan semula saya tidak dapat fokus dalam menyiapkan latihan diberikan guru kerana tidak faham,” kata murid Tahun Empat itu. – UTUSAN

Tiada ulasan: