PORT DICKSON: Seorang lelaki ditahan selepas membuat laporan polis palsu tentang kehilangan sebuah kereta miliknya pada 20 April lalu.
Lelaki berusia 25 tahun dan bekerja sebagai penganalisis data itu disyaki membuat laporan palsu tersebut bagi tujuan mendapatkan tuntutan insurans bagi mengadakan majlis perkahwinannya.
Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintenden Aidi Sham Mohamed berkata, lelaki itu ditahan enam hari kemudian selepas siasatan lanjut mendapati dia sengaja mereka cerita mengenai kehilangan kenderaan jenis Subaru Forester tersebut.
“Pada 20 April 2021, pukul 10.30 malam, lelaki tersebut membuat satu laporan polis berhubung kehilangan sebuah motokar miliknya di pekarangan parkir Lukut Prima, di sini.
“Hasil soal siasat awal mendapati pengadu parkir motokar di kawasan tersebut sekitar pukul 8 malam untuk makan bersama rakan dan apabila kembali semula ke pada pukul 10 malam, pengadu mendapati motokar telah tiada di tempat parkir,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah beliau, pada 26 April 2021 kira-kira pukul 1.30 petang, setelah disoal siasat lanjut oleh polis, mendapati lelaki berkenaan sengaja mengada-adakan cerita tentang kehilangan kenderaannya itu.
Jelas Aidi Sham lagi, kereta itu disimpan di tempat lain dengan tujuan untuk mendapatkan tuntutan insurans ke atas kehilangan motokar.
Katanya, sepasukan anggota polis dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Port Dickson dan JSJ Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan kemudian menangkap lelaki berkenaan bersabit kereta dan laporan palsu.
“Dengan dipandukan oleh pengadu, polis menemukan semula motokar yang disorokkan oleh pengadu di belakang bangunan sebuah pasar raya di Lukut.
“Lelaki itu kini masih ditahan di lokap Polis Port Dickson sehingga esok dia akan disiasat lanjut dibawah Seksyen 182 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga enam bulan atau denda atau kedua-duanya sekali,” katanya. – UTUSAN ONLINE
Tiada ulasan:
Catat Ulasan