HUJAN lebat luar biasa yang melanda Mekah sejak petang Selasa menyebabkan beberapa kawasan terutama di bandar dilanda banjir kilat.
Menurut perkongsian beberapa penduduk Malaysia di Mekah melalui laman sosial, hujan turun dengan lebat semalam ketika umat Islam berpuasa pada hari ke-15 Ramadan.
Salah seorang daripada mereka, Datuk Sheikh Abdul Halim Sheikh Salah yang mengirimkan video hujan itu kepada UtusanTV berkata, hujan tersebut memberi rahmat kepada umat Islam yang sedang berpuasa di Mekah.
Manakala, Menurut perkongsian di laman Twitter Haramain Sharifain, hujan lebat yang amat jarang berlaku sejak Asar menyebabkan air naik sehingga mencecah 0.5 meter.
Dalam beberapa video yang tular, dapat disaksikan bagaimana banjir kilat menengelamkan kereta dan ada kereta yang dibawa arus kuat.
Sebelum ini, pihak berkuasa telah mengeluarkan amaran cuaca buruk membabitkan beberapa wilayah di seluruh Arab Saudi bermula Jumaat sehingga Selasa.
Amaran awal berkenaan membabitkan ramalan ribut petir dengan hujan sederhana serta angin kencang di wilayah Asir, Al-Baha, Jazan, Najran, Mekah dan Madinah bermula Jumaat.
Memetik laporan media tempatan juga, amaran itu turut melibatkan ibu kota Riyadh, Qassim dan Provinsi Timur yang akan mengalami hujan lebat sederhana yang dijangka mengakibatkan arus deras dan banjir.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan