Rabu, 28 April 2021

Bekerja dari rumah mungkin dilaksanakan semula?

Oleh AMREE AHMAD
 
ISMAIL SABRI YAAKOB

PUTRAJAYA: Kerajaan bersedia mempertimbang kelonggaran untuk ibu bapa dapat memohon semula Bekerja Dari Rumah (BDR) selepas ditamatkan pada 1 April lalu.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kerajaan boleh meneliti balik keperluan itu bagi diberikan kembali terutama untuk yang ada anak bersekolah.

“Saya percaya kerajaan boleh berbincang dengan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam untuk BDR dilaksanakan semula bagi penjawat awam,” katanya dalam sidang akhbar hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya berhubung pelaksanaan kembali sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) melibatkan semua sekolah selepas cuti Hari Raya Aidilfitri.

Semalam, Menteri Kanan (Pendidikan), Datuk Dr. Radzi Jidin mengumumkan PdPR diwujudkan semula untuk murid selama tempoh 10 hari mulai 16 Mei sehingga 28 Mei depan.

Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata, untuk para pekerja sektor swasta, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri sedia mengkaji semula dasar BDR dihidupkan balik.

“Kita berharap majikan di syarikat swasta dapat juga beri pertimbangan untuk pekerja yang ada anak bersekolah agar mereka dapat pantau PdPR sambil bertugas di rumah,” katanya.

Beliau pada masa sama, berharap keputusan mengenai pelaksanaan kembali BDR dapat diumumkan dalam waktu terdekat untuk semua pihak terlibat melakukan persiapan awal.

Ditanya mengenai isu tular menerusi media sosial kisah seorang peniaga burger dikompaun RM50,000 di Kelantan kelmarin, beliau berkata, individu itu boleh mengemukakan rayuan.

Namun, beliau sependapat dengan kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Takiyuddin Hassan bahawa kadar dikenakan itu keterlaluan.

Justeru, Ismail Sabri berharap, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba membuat kenyataan rasmi berhubung isu panas tersebut yang turut mencetuskan kemarahan rakyat.

“Bagi pandangan saya sendiri, kadar kompaun berkenaan memang agak tinggi dan nilai itu pula macam denda untuk kesalahan yang dilakukan oleh sebuah syarikat besar,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tiada ulasan: