Khamis, 8 April 2021

SPRM tahan penjawat awam, pengurus syarikat kemuka tuntutan palsu

Oleh SURAIDAH ROSLAN
PEGAWAI SPRM membawa kedua-dua suspek ke Mahkamah Majistret Sandakan bagi permohonan reman, pagi tadi

SANDAKAN: Dua lelaki ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), dekat sini semalam kerana dipercayai mengemukakan tuntutan palsu bagi menyelenggara bot Klinik Bergerak 1Malaysia di Kinabatangan dengan nilai RM 336,000.

Kedua-dua lelaki berusia 46 tahun yang bertugas sebagai penjawat awam dan pengurus syarikat itu dipercayai mengemukakan tuntutan palsu itu pada 2019.

Menurut sumber, kedua-dua orang lelaki tersebut ditahan semasa hadir di Pejabat SPRM Sandakan untuk membantu siasatan.

Pengarah SPRM Sabah, S Karunanithy semasa dihubungi mengesahkan penahanan tersebut.

Kedua-dua suspek berkenaan telah dibawa ke Mahkamah Majistret Sandakan bagi permohonan reman pagi tadi.

Majistret, Wan Farrah Farriza Wan Ghazal membenarkan tempoh tahanan reman selama enam hari bermula hari ini sehingga 12 April.

Kes disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana yang lebih tinggi.- UTUSAN ONLINE

Tiada ulasan: