Khamis, 8 April 2021

700 peneroka gesa kaji semula pajakan tanah

Oleh ISKANDAR SHAH MOHAMED
SEBAHAGIAN peneroka hadir ke perhimpunan bantahan peneroka ladang Tanjung Pasir di Tanjung Karang Selangor pada hari ini. UTUSAN/ZULFADHLI ZAKI

KUALA SELANGOR: Peneroka Ladang Tanjong Pasir dan Kampung Seri Makmur, Bestari Jaya di sini menggesa kerajaan negeri mengkaji semula isu pajakan tanah di kawasan itu yang disifatkan membebankan mereka.

Seramai 700 peneroka itu mendakwa kerajaan negeri memberi pajakan untuk dua tanah berkenaan kepada tiga syarikat tanpa sebarang perbincangan dan persetujuan mereka.

Ahli Parlimen Tanjong Karang, Tan Sri Noh Omar berkata, kedua-dua kawasan ladang berkeluasan 1,920 hektar itu sudah diterokai bermula pada 1965.

“Namun, sejak tujuh bulan lalu, 400 peneroka Ladang Tanjong Pasir terkejut apabila melihat pembinaan jalan telah dibuat oleh dua syarikat yang didakwa diberikan hak milik pajakan.

“Manakala 300 peneroka Kampung Seri Makmur pula dikenakan caj sewaan tanah berjumlah RM150 sebulan oleh sebuah syarikat lain,” katanya dalam sidang akhbar di Ladang Tanjong Pasir di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr. Santhara Kumar.

Terdahulu, kira-kira 300 peneroka dua ladang itu membuat bantahan secara aman bagi meluahkan kekesalan mengenai isu berkenaan.

Mengulas lanjut, kata Noh, kerajaan negeri sepatutnya melakukan perbincangan terlebih dahulu sebelum membuat keputusan mengenai pajakan tanah tersebut.

“Ladang ini telah diterokai sejak tiga generasi dan peneroka semestinya bimbang akan nasib mereka pada masa depan.

“Kita sepatutnya perlu ‘mengetuk pintu’ dahulu sebelum memasuki ‘rumah’ seseorang dan bukan hanya meredah begitu sahaja,” katanya.

Sementara itu, peneroka Ladang Tanjong Pasir, K. Siva, 44, ladang kelapa sawit berkenaan menjadi sumber utama rezeki dan pendapatan keluarganya sejak 50 tahun lalu.

“Kami bingung melihat laluan masuk ke ladang sejauh satu kilometer dibina dan terpaksa mengikut jadual ditetapkan syarikat itu untuk mengambil hasil sawit.

“Selain itu, kami bimbang akan berlaku kejadian banjir dan meminta kerajaan negeri meneliti semula pajakan tanah berkenaan,” katanya.

Dalam pada itu, Santhara berkata, beliau dan Noh akan membuat semakan dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung isu tersebut.

“Saya difahamkan peneroka ada tampil membuat laporan kepada SPRM pada 2019 untuk tindakan lanjut.

“Oleh demikian, saya akan membuat susulan mengenainya bagi mengetahui status laporan perkara berkenaan,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tiada ulasan: