Khamis, 8 April 2021

Mengaku positif Covid-19 kerana tidak mahu bekerja

Oleh KHAIRUL MOHD ALI

DZULKHAIRI MUKHTAR

JOHOR BAHRU: Tindakan seorang remaja lelaki berusia 19 tahun yang mengaku positif Covid-19 hanya kerana tidak mahu meneruskan pekerjaan di sebuah restoran di Skudai menerima padah apabila dia ditahan polis, semalam.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Dzulkhairi Mukhtar berkata, remaja berkenaan ditahan selepas pemilik restoran berkenaan membuat laporan polis pada hari sama.

Katanya, laporan itu dibuat setelah pihaknya mendapat tahu remaja berkenaan memalsukan laporan keputusan ujian calitan Covid-19.

“Remaja lelaki yang bekerja sebagai pelayan di restoran berkenaan membuat kiriman ‘Whatsapp’ dengan menghantar foto sekeping surat mendakwa dirinya positif Covid-19.

“Ekoran itu, majikan restoran tersebut telah menutup restorannya dan pergi ke klinik bersama 12 lagi pekerja yang lain untuk membuat ujian calitan Covid-19 dimana kesemua keputusan ujian berkenaan negatif,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Tambah Dzulkhairi, berikutan keputusan itu majikan restoran berkenaan telah bertanya kepada remaja berkenaan bagi mengetahui kisah sebenar.

“Remaja itu kemudiannya mengaku bahawa dia telah menipu gara-gara merasakan dirinya tidak sesuai bekerja sebagai pelayan restoran.

“Menurut majikan itu, remaja terbabit adalah pekerja yang baharu sahaja satu hari diterima bekerja di restoran tersebut iaitu pada 5 April lalu,” ujarnya.

Beliau berkata, polis akan mendapatkan perintah tahanan reman ke atas suspek manakala kes disiasat di bawah seksyen 420/468 Kanun Keseksaan atas kesalahan memalsukan laporan pemeriksaan ujian calitan Covid-19.- UTUSAN ONLINE

Tiada ulasan: