Selasa, 6 April 2021

Sindiket kartel tender projek kerajaan lumpuh, 7 ditahan

Bernama 

SPRM berjaya melumpuhkan sindiket monopoli 354 tender beberapa kementerian serta agensi kerajaan di seluruh negara.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berjaya melumpuhkan sindiket kartel tender projek kerajaan dengan penahanan tujuh indvidu termasuk ketuanya dalam operasi yang dijalankan tengah malam tadi.

Menurut sumber kesemua mereka dilaporkan memonopoli sejumlah 354 tender beberapa kementerian serta agensi kerajaan di seluruh negara melibatkan projek berjumlah RM3.8 billion sejak 2014 hingga kini.

Sumber memaklumkan sindiket itu juga dipercayai bertindak menggunakan lebih 150 buah syarikat bagi memasuki tender atau sebut harga di kementerian serta agensi terlibat.

“Ketua sindiket mewujudkan 150 syarikat berbeza dengan menggajikan beberapa individu sebagai pengarah syarikat yang mana sebenarnya dimilikinya sendiri. Sindiket itu menyasarkan kepada projek penyelenggaran fasiliti dan projek pembangunan.

”Hasil risikan turut mendapati sindiket menggunakan nama beratus individu untuk membuka syarikat-syarikat di bawah naungannya. Setiap individu akan dibayar gaji bulanan dan komisen sebagai imbuhan bagi penggunaan nama dan butir-butir peribadi,” katanya.

Sumber berkata dipercayai butir-butir kelayakan akademik dan kelayakan profesional bagi kebanyakan penama digunakan untuk menubuhkan syarikat adalah palsu.

Setiap syarikat juga dikatakan menggunakan penyata kewangan palsu untuk melayakkan mereka memasuki tender atau sebu tharga berkenaan.

Menurut sumber siasatan awal mendapati sindiket itu mendapat kerjasama ‘orang dalam’ bagi memastikan syarikat-syarikat di bawah kawalannya dibenar memasuki tender atau sebut harga selain memastikan salah satu daripadanya berjaya.

“Modus operandi kartel ialah dengan merasuah orang dalam bagi mendapatkan maklumat berhubung spesifikasi, harga siling, harga jabatan, jumlah penyertaan, kelayakan syarikat dan masa yang sesuai untuk menghantar borang tender atau sebut harga,” katanya.

Sumber memaklumkan syarikat terbabit kemudian akan memasuki tender mengikut harga yang berbeza-beza berdasarkan harga siling ditetapkan selain menggunakan taktik ‘mengepung harga’ apabila menyertai sesuatu tender.

Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan tangkapan.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 17 dan 18 Akta SPRM dan kami tidak menolak kemungkinan lebih banyak tangkapan akan dilakukan dalam masa terdekat,” katanya.

Tiada ulasan: