Selasa, 6 April 2021

Kartel tender projek: KSN kesal penjawat awam dipergunakan

KUALA LUMPUR: Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Mohd Zuki Ali, amat kesal terhadap segelintir penjawat awam yang membenarkan diri mereka diperguna pihak berkepentingan bagi mendapatkan habuan lumayan.

Ia susulan kejayaan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membongkar sindiket kartel yang dipercayai memonopoli ratusan tender kerajaan bernilai RM3.8 bilion sejak tujuh tahun lalu, semalam.

Justeru, Mohd Zuki, memberi jaminan tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana penjawat awam terbabit kes itu atau sebarang salah laku yang menjejaskan imej perkhidmatan awam, jika dibuktikan bersalah.

"Saya sudah berulang kali memberi peringatan kepada semua ketua jabatan supaya menerap dan memegang utuh konsep integriti dalam pengurusan organisasi, dengan memperkukuhkan program kesedaran serta pencegahan selaras pelaksanaan Pelan Antirasuah Nasional (NACP).

"Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) sudah diarah melaksanakan pusingan kerja bagi pegawai memegang jawatan sensitif, yang cenderung kepada isu berkaitan salah laku," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Media semalam melaporkan SPRM membongkar sindiket kartel yang dipercayai memonopoli ratusan tender kerajaan sejak 2014, susulan penahanan tujuh individu, setakat ini.

Individu berkenaan, termasuk ketua kartel berusia 47 tahun yang ditahan malam kelmarin, dipercayai menguasai 345 tender projek di beberapa kementerian dan agensi kerajaan.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Azam Baki, tidak menolak kemungkinan pihaknya akan melakukan lebih banyak tangkapan berkaitan kes itu dalam masa terdekat.

Tiada ulasan: