Selasa, 6 April 2021

Pengarah syarikat mengaku salah beri suapan RM10,000

SHAH ALAM: Seorang pengarah syarikat pembekal komponen elektronik mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen, hari ini atas kesalahan rasuah berjumlah RM10,000 pada 23 Mac lalu.

Tertuduh, Ang Boon Chin, 60, mengaku bersalah terhadap pertuduhan pilihan yang dibacakan dalam bahasa Mandarin oleh jurubahasa di hadapan Hakim Rihaida Rafie.

Mengikut kertas pertuduhan pilihan, Boon Chin didakwa secara rasuah memberi suatu suapan wang berjumlah RM10,000 kepada seorang kakitangan kerajaan iaitu Penolong Pegawai Daerah dan Tanah Klang.

Dia didakwa memberi suapan berkenaan sebagai balasan untuk syarikatnya yang sedang disiasat atas kesalahan menceroboh tanah kerajaan di Jalan Lengkok Selatan, Taman Perindustrian Pandamaran, Pelabuhan Klang mengikut Seksyen 425 (1) Kanun Tanah Negara tidak diambil tindakan.

Justeru, tertuduh melakukan kesalahan mengikut Seksyen 214 Kanun Keseksaan (Akta 574) dan boleh dihukum di bawah seksyen dan akta yang sama.

Sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara selama tempoh yang tidak melebihi 15 bulan (iaitu satu perempat hukuman maksimum lima tahun penjara kesalahan di bawah Seksyen 425(1) Kanun Tanah Negara), atau denda atau kedua-duanya sekali.

Boon Chin didakwa melakukan kesalahan itu di Pejabat Daerah Dan Tanah Klang pada 23 Mac lalu.

Pihak pendakwaan yang diwakili Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Fadhli Ab Wahab menawarkan jaminan RM20,000 dengan seorang penjamin warganegara serta syarat tambahan passport diserahkan kepada mahkamah.

Tertuduh yang diwakili peguam, Lo Mei Na kemudian meminta wang jaminan dikurangkan kerana Boon Chin tiada risiko untuk melarikan diri kerana keluarga serta perniagaannya ada di sini.

Hakim kemudian membenarkan tertuduh dijamin RM10,000 dengan syarat tambahan yang dikemukan pihak pendakwaan.

Mahkamah menetapkan 15 April untuk prosiding jatuh hukum.

Tiada ulasan: