Rabu, 7 April 2021

Siasat aktiviti pembalakan sebabkan sumber air Baling berselut

Oleh KHUZAIRI ISMAIL
MOHIDEEN ABDUL KADER

GEORGETOWN: Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa Kerajaan Negeri Kedah dan Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia menyiasat aktiviti pembalakan di kawasan Sera Ular, Baling yang didakwa menjejaskan sumber bekalan air lebih 100 penduduk Kampung Tanjung Pari dan Kampung Batu Lapan di situ.

Presidennya, Mohideen Abdul Kader berkata, CAP kesal walau pun masalah tersebut telah lama berlaku dan dibangkitkan namun tidak ada tindakan diambil oleh pihak berkenaan bagi mengatasinya sehingga kini.

Menurut beliau, aktiviti pembalakan itu telah menyebabkan air takungan dari bukit yang menjadi bekalan air masyarakat menjadi keruh dan berselut.

“Keadaan itu telah menimbulkan pelbagai kesulitan kepada penduduk-penduduk yang terlibat sama ada untuk mandi, membasuh dan memasak sehingga mereka terpaksa menadah air hujan sebagai ganti.

“CAP bimbang jika masalah ini berterusan boleh menjejaskan kesihatan penduduk-penduduk di kedua-dua buah kampung tersebut,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Menurut Mohideen, hakisan tanah dari kawasan aktiviti pembalakan di situ juga boleh menyebabkan saliran dan sungai berhampiran menjadi cetek akibat mendapan lumpur.

Keadaan itu jelas beliau, boleh menimbulkan ancaman banjir kilat pada masa akan datang sekali gus mendedahkan penduduk kampung berkenaan kepada risiko keselamatan.

“Oleh itu, CAP meminta Kerajaan Negeri Kedah dan jabatan-jabatan yang terlibat seperti Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) menbuat kajian secara menyeluruh berhubung masalah ini.

“Sekiranya jika terbukti aktiviti tersebut melanggar undang-undang dan mengancam alam sekitar serta kehidupan penduduk tempatan, maka aktiviti ini wajar dihentikan segera,” katanya.

Dalam masa sama tambah Mohideen, pihaknya turut menggesa Syarikat Air Darulaman (Sada) membekalkan air bersih secukupnya kepada penduduk kampung yang menghadapi masalah itu untuk keselesaan kehidupan seharian dan menjamin kesihatan mereka tidak terjejas. – UTUSAN ONLINE

Tiada ulasan: