Rabu, 7 April 2021

Peniaga IKS guna e-wallet masih rendah

Oleh NUR SHARIEZA ISMAIL
RODZIAH Ismail (tengah) beramah mesra dengan pemandu teksi ketika menyerahkan sumbangan food basket kepada pemandu teksi dan bas sekolah pada program Bingkisan Mesra Selangor di Dataran Bandar Baru Salak Tinggi Walk Sepang, Selangor.- UTUSAN/FAISOL MUSTAFA

SEPANG: Kerajaan negeri tidak menolak kemungkinan mengenakan tindakan penguatkuasaan kepada peniaga industri kecil dan sederhana (IKS) yang gagal menggunakan pembayaran secara dalam talian (e-wallet) bagi urusan jual beli.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Perumahan, Kesejahteraan Bandar dan Pembangunan Usahawan Selangor, Rodziah Ismail berkata, pihaknya berharap kira-kira 300,000 IKS yang berdaftar dengan kerajaan negeri akan menggunakan aplikasi itu akhir tahun ini, seperti yang disasarkan.

“Bagaimanapun, tindakan ini belum lagi diputuskan, namun, sekiranya pergerakan peniaga IKS agak perlahan, mungkin tindakan penguatkuasan akan terus dilaksanakan,” katanya dalam sidang akhbar selepas hadir Program Bingkisan Mesra Selangor dan Penyerahan Bakul Makanan kepada pemandu teksi dan bas sekolah di Dataran Bandar Baru Salak Tinggi (BBST) Walk di sini, semalam.

Yang turut hadir, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang), Datuk Abd. Hamid Hussain.

Rodziah berkata, kerajaan negeri telah melancarkan penggunaan e-wallet pada tahun 2019 namun, mendapati ia kurang mendapat sambutan.

Untuk itu, kata Rodziah, pihaknya akan bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi memastikan seluruh peniaga IKS di Selangor patuh pada dasar tersebut memandangkan kaedah itu boleh meminimumkan sentuhan semasa jual beli seterusnya dapat mengurangkan risiko penularan Covid-19.

“Kita baru sahaja bermesyuarat dan telah diluluskan agar pegawai khas membantu dalam urusan ini. Mana-mana peniaga IKS yang ingin mendapatkan atau memperbaharui lesen berniaga mereka perlu ikuti kursus yang disediakan.

“Kita perlu beri advokasi dahulu bagi membolehkan peniaga IKS ini betul-betul faham. Apabila tiada bimbingan, itu yang menyebabkan ia menjadi lambat,” katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai program berkenaan, Rodziah berkata, mana-mana pemandu teksi dan bas sekolah yang berdaftar dengan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) namun masih belum menerima bantuan agar segera tampil berbuat demikian.

“Hari ini, seramai 131 penerima berdaftar terima sumbangan dan saya yakin ramai lagi di luar sana yang perlukan bantuan jadi harap mereka tampil supaya tidak ketinggalan,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tiada ulasan: