Rabu, 7 April 2021

Dadah : Polis Kemaman buru 263 individu

Oleh NIK NUR IZZATUL HAZWANI NIK ADNAN
HANYAN Ramlan (dua, kiri) menunjukkan antara individu dalam senarai orang dikehendaki polis berkaitan kes memasukkan dadah ke dalam badan di Kemaman, Terengganu.-UTUSAN/ NIK NUR IZZATUL HAZWANI NIK ADNAN

KEMAMAN: Polis Kemaman giat mengesan 263 individu yang berada dalam senarai orang dikehendaki bagi membantu siasatan membabitkan kes dadah.

Ketua Polis Daerah, Superintenden Hanyan Ramlan berkata, operasi khas yang dilancarkan sejak 1 April lalu berjaya menahan 45 individu setakat ini.

Katanya, kesemua mereka yang berusia antara 15 hingga 66 tahun itu bakal dituduh mengikut Seksyen 15 (1) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana memasukkan dadah ke dalam badan.

“Dalam tempoh empat hari operasi, seramai 45 pesalah ditahan termasuk ada di antaranya yang menyerah diri dan kes mereka telah dituduh di mahkamah.

“Kita akan mengeluarkan senarai pesalah ini secara berperingkat menerusi semua saluran media sosial dan kita minta individu yang terlibat supaya menyerah diri di mana-mana balai polis terdekat,” katanya di sini hari ini.

Hanyan berkata, pihaknya percaya kesemua 263 pesalah itu masih berada dalam daerah dan negeri ini.

Sehubungan itu, katanya, orang ramai yang mengenali individu berkenaan boleh menghubungi Sarjan Izhamm Halim di talian 019-2082080 atau menghubungi balai polis berdekatan. -UTUSAN ONLINE

Tiada ulasan: