KUALA TERENGGANU: Polis menafikan penahanan mana-mana individu berhubung kes penemuan mayat rentung di cerun semak di tepi Jalan Kuala Terengganu-Kota Bharu di Kampung Padang Air, di Kuala Nerus hari ini.
Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Abdul Rahim Md. Din berkata, orang ramai diminta tidak terpengaruh dengan rakaman suara seorang lelaki yang tular di aplikasi WhatsApps sejak petang tadi mengenai tangkapan tersebut.
“Setakat pukul 5.30 petang ini tiada sebarang tangkapan dibuat,” katanya ketika dihubungi pemberita di sini hari ini.
Rakaman suara berdurasi 28 saat itu mendedahkan seramai tiga suspek ditahan pagi ini kerana dikatakan terlibat dengan kes kematian mangsa.
Menurut rakaman tersebut, mangsa merupakan seorang wanita dan berasal dari Dungun bagaimanapun menetap di Kampung Tok Dir, Marang.
Sehubungan itu, Abdul Rahim mengingatkan orang ramai agar tidak menularkan berita palsu yang boleh menimbulkan kekeliruan dalam masyarakat.
Dalam kejadian kira-kira pukul 7.15 pagi itu, mayat yang belum dikenal pasti identiti dan jantina ditemukan kira-kira tiga meter di cerun semak oleh pekerja pembersihan Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT).
Polis tidak menolak kemungkinan mangsa meninggal dunia lebih awal sebelum dibawa dan dibakar di lokasi kejadian. – UTUSAN
Tiada ulasan:
Catat Ulasan