Ahad, 18 April 2021

Wanita mangsa kemalangan kereta lawan arus meninggal dunia

Oleh KHUZAIRI ISMAIL
SEORANG mangsa yang terlibat dalam kemalangan akibat kereta dipandu melawan arus di BORR arah Bagan Ajam, Pulau Pinang pada Rabu lalu meninggal dunia hari ini.

BUTTERWORTH: Salah seorang mangsa kemalangan sebuah kereta yang dipandu melawan arus di Kilometer 13.0 Lebuh Raya Lingkaran Luar Butterworth (BORR) arah Bagan Ajam, di sini Rabu lalu meninggal dunia hari ini. 

Goh Sei Yi, 31, dilaporkan meninggal dunia kira-kira pukul 11 pagi di Hospital Seberang Jaya (HSJ) di sini. 

Mangsa merupakan penumpang hadapan kereta jenis Toyota Corolla Altis yang dipandu suaminya berusia 35 tahun yang kini menerima rawatan di unit rawatan rapi (ICU) sebuah hospital swasta bersama anak mereka berusia tiga tahun. 

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd. Noor berkata, proses bedah siasat yang dijalankan kira-kira pukul 2 petang mendapati Sei Yi meninggal dunia akibat pelbagai kecederaan dalaman akibat kemalangan tersebut. 

“Pemandu kereta jenis Honda City berusia 43 tahun yang melawan arus dalam kejadian itu dilaporkan masih tidak sedarkan diri dan dirawat di ICU HSJ,” katanya kepada pemberita di sini hari ini. 

Akhbar pada Khamis lalu melaporkan tiga beranak cedera parah selepas kereta Toyota Corolla Altis dinaiki mereka dirempuh kereta jenis Honda City yang dipandu secara melawan arus di BORR dalam kejadian kira-kira pukul 10 malam.

Sebelum itu Honda City berkenaan bergesel dengan sebuah motosikal Benelli Leoncino dinaiki dua individu namun mereka tidak cedera. 

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – UTUSAN

Tiada ulasan: