Jumaat, 23 April 2021

PKRC khas untuk kluster pendidikan di Kelantan

Oleh ROSALINDA MD. SAID

KOTA BHARU: Jabatan Kesihatan negeri akan membuka satu lagi Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) khas bagi menempatkan pesakit kluster pendidikan, iaitu kumpulan pelajar sekolah yang disahkan positif pandemik itu.

Pengarah kesihatan negeri, Datuk Dr. Zaini Hussin berkata, PKRC ketujuh dibuka di Kelantan itu susulan bilangan katil yang hampir penuh akibat peningkatan kes Covid-19 secara mendadak di negeri ini.

“Kita telah mengadakan perbincangan dengan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) untuk menjadikan asrama sekolah sebagai PKRC khas bagi menempatkan pelajar yang disahkan positif dari seluruh Kelantan.

“PKRC berkenaan membabitkan sebuah sekolah menengah di Salor dan ia akan dibuka hari ini atau selewat-lewatnya esok.

“Pelajar lelaki dan perempuan turut akan ditempatkan di lokasi berkenaan membabitkan dua blok berasingan” katanya selepas menghadiri Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Keselamatan Negeri (JKKN) di sini hari ini.

Kes harian positif Covid-19 di Kelantan hari ini mencecah 662 kes, tertinggi di negara ini mengatasi Selangor 633 dan Sarawak 474.

Media sebelum ini melaporkan, Kelantan merekodkan tujuh kluster pendidikan membabitkan 464 individu positif Covid-19 membabitkan guru, kakitangan dan pelajar.

Mengulas lanjut, Dr. Zaini berkata, PKRC baharu berkenaan mampu menampung 300 pesakit dalam satu masa.

Dalam perkembangan lain, Dr Zaini berkata, suntikan vaksin fasa dua yang bermula hari ini membabitkan 120 warga emas yang berusia 60 tahun ke atas dan berisiko berjalan lancar. – UTUSAN ONLINE

Tiada ulasan: