Jumaat, 23 April 2021

Zahidi Zainul sokong sekat pengguna media sosial kutuk institusi raja, kerajaan

Oleh BADRUL HAFIZAN MAT ISA
ZAHIDI Zainul Abidin melawat makmal komputer pada Program Jelajah Pembudayaan Literasi dan Khidmat Komuniti Masyarakat Orang Asli Dalam Norma Baharu di Perkampungan Orang Asli, Kampung Jeram Kedah, Ulu Beranang, Seremban hari ini. - UTUSAN/MUHAMMAD IZZAT TERMIZIE.

SEREMBAN: Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Zahidi Zainul Abidin menyokong jika ada cadangan daripada kerajaan untuk menyekat pengguna media sosial yang menjadikan platform tersebut bagi mencerca institusi diraja dan pemimpin negara serta mengeruhkan hubungan antara kaum.

Tindakan sekatan tersebut jelas beliau adalah sebagai usaha mendidik terutama dalam kalangan generasi muda.

“Apa salahnya kita hentikan, kalau mengutuk pemimpin, mengutuk raja-raja Melayu, mengutuk antara kaum, memang kita sekat lah, saya sokong untuk menyekat untuk mendidik terutama anak muda.

“Kita ada internet, ICT dan sebagainya untuk kebaikan, kalau dapat kepada mereka yang mahu mengutuk sahaja , untuk apa? baik kita sekat,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program Jelajah Pembudayaan Literasi ICT dan Khidmat Komuniti Masyarakat Orang Asli Dalam Norma Baharu di Perkampungan Orang Asli Kampung Jeram Padang, Ulu Beranang dekat sini hari ini.

Zahidi Zainul yang juga Ahli Parlimen Padang Besar menambah, pengguna media sosial di negara ini masih bebas berbanding negara-negara lain meskipun cercaan mereka membabitkan perkara yang tidak sewajarnya.

“Saya akan cadang sekat, kalau di luar negara ini kalau kamu kutuk kerajaan sahaja, sebulan dia sekat, padam terus. Masalah sekarang ini, kita nak komen, tapi kita kutuk kepada yang tidak sepatutnya, orang muda ini, raja pun dia kutuk, pemimpin pun dia kutuk, kalau ada orang mati, bukannya simpati,” katanya lagi.

Sementara itu, jelasnya, penganjuran Program Jelajah Pembudayaan Literasi ICT dan Khidmat Komuniti Masyarakat Orang Asli Dalam Norma Baharu adalah bertujuan untuk mempertingkatkan pengetahuan ilmu ICT dalam kalangan masyarakat tersebut supaya tidak ketinggalan dengan masyarakat lain.

“Di sini merupakan lokasi pertama bagi program ini dan ia akan diperluaskan ke seluruh negara, bukan hanya perkampungan orang Asli tidak di kawasan luar bandar yang lain.

“Kalau boleh juga kita mahu program ini diadakan bersama dengan program (penerangan) vaksin. Kalau Kementerian Kesihatan boleh turun juga bagi memberikan pengetahuan mengenai pemberian vaksin juga kerana ketika ini masyarakat orang Asli masih lagi takut mengenai vaksin,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tiada ulasan: