Rabu, 7 April 2021

Ramai ditahan ingkar jarak fizikal

Oleh AMREE AHMAD
ISMAIL SABRI YAAKOB

PUTRAJAYA: Jumlah pesalah kes ingkar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) seluruh negara semalam turun lagi untuk hari yang ketiga berturut-turut dengan hanya merekodkan 92 individu dicekup berbanding 95 orang ditahan kelmarin dan 137 individu diberkas Ahad lalu.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, daripada jumlah berkenaan, seramai 88 dikompaun manakala empat lagi direman dengan kes tertinggi iaitu gagal patuh jarak fizikal sebanyak 43 kes.

Ujar beliau, ini diikuti empat kesalahan lain iaitu cuba merentas negeri (21), tidak merekodkan butiran diri (21), tidak memakai pelitup muka (lima) dan premis dibuka lebih masa (dua).

“Seramai 43 orang pendatang asing tanpa izin ditahan selain tiga lagi diusir melalui Operasi Benteng bagi mengekang jenayah rentas sempadan negara dan penularan wabak Covid-19.

“Sebanyak 153 buah bot atau kapal yang dicurigai dikesan berdekatan dengan perairan negara melalui 11 aktiviti penglihatan oleh pasukan keselamatan dan menyita tiga kenderaan darat selain melaksanakan 257 sekatan jalan raya di seluruh negara,” katanya.

Menyentuh isu kuarantin wajib, katanya, seramai 765 individu tiba di tanah air semalam dengan kesemuanya menjalani proses mandatori tersebut di sejumlah stesen kuarantin.

“Sejumlah 7,799 individu terbabit masih lagi menjalani proses kuarantin wajib di sebanyak 73 hotel serta lapan institusi latihan awam dan swasta di seluruh negara.

“Seramai 1,270 individu dibawa ke hospital untuk menerima rawatan, manakala 157,523 individu lagi sudah dibenarkan balik ke rumah masing-masing selepas dikuarantin,” katanya.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata, jumlah pekerja asing yang ada wabak Covid-19 setelah melalui proses wajib saringan di seluruh negara semalam naik kepada 11 berbanding cuma tiga orang kelmarin dengan sejumlah 1,776 pekerja warga asing menjalani proses itu semalam.

Secara kumulatif jelas beliau lagi, sejak 1 Disember lalu, seramai 676,384 individu telah pun selesai melakukan ujian mandatori itu yang melibatkan penyertaan sejumlah 35,007 majikan dengan 10,162 pekerja warga asing disahkan positif. -UTUSAN ONLINE

Tiada ulasan: