Rabu, 7 April 2021

Covid-19 bukan lagi alasan bayar gaji bawah paras minimum, tegas MTUC

PETALING JAYA: Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) meminta majikan tidak menjadikan Covid-19 serta kelembapan ekonomi alasan untuk membayar gaji pekerja bawah kadar minimum ditetapkan.

Timbalan Presiden Mohd Effendy Abdul Ghani berkata, akan ada pihak ambil kesempatan jika kerajaan beri kelonggaran kepada majikan untuk bayar kurang daripada RM1,200.

“Dalam keadaan sekarang, jika majikan tidak boleh menggajikan pekerja secara bulanan, mereka boleh menggajikan pekerja secara bayaran harian atau mingguan tertakluk kepada perkiraan kadar gaji minima RM1,200. Tidak boleh kurang daripada itu.

“Covid-19 tidak boleh lagi dijadikan alasan untuk kurangkan bayaran gaji dan membuang pekerja kerana pelbagai insentif sudah diberikan kerajaan melalui subsidi upah dalam tiga fasa sebelum ini bagi memastikan operasi syarikat berjalan seperti biasa,” katanya kepada FMT.

Dengan kebanyakan operasi syarikat ketika ini sudah boleh dijalankan sepenuhnya, Effendy berkata MTUC percaya majikan akan berupaya menguruskan perniagaan untuk kembali normal secara berperingkat.

Dalam pada itu, MTUC turut menasihatkan orang ramai supaya tidak terlalu memilih pekerjaan dalam keadaan negara masih berdepan kelembapan ekonomi bagi memastikan kadar pengangguran tidak meningkat.

“Orang ramai perlu bersedia bersedia mengalih bidang pekerjaan termasuk menceburi sektor perkhidmatan penghantaran makanan seperti ‘Grab food’, perniagaan, serta perladangan bagi memastikan kelangsungan hidup sementara keadaan kembali pulih.

“Malah sebelum ini kerajaan mengumumkan tawaran gaji sehingga RM3,000 sebulan untuk bekerja di ladang juga adalah munasabah,” katanya.

Isnin lalu, Menteri Sumber Manusia M Saravanan berkata, kelembapan ekonomi semasa antara faktor tawaran gaji rendah iaitu dalam lingkungan RM1,000 hingga RM1,500 diberikan kepada graduan lepasan institut pengajian tinggi (IPT).

Katanya, kerajaan tidak pernah mengubah kadar gaji minimum yang ditetapkan, bagaimanapun dalam keadaan ekonomi yang perlahan ketika ini ada majikan yang memberi tawaran pekerjaan kepada penganggur dengan gaji lebih rendah daripada ditetapkan.

Tiada ulasan: