Rabu, 7 April 2021

1 maut, 3 kritikal terhidu gas ammonia di Pelabuhan Klang

Menurut APMM, semua mangsa dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah, 
Klang untuk rawatan dan tindakan lanjut. (Gambar Bernama)

SHAH ALAM: Seorang kru kapal tangki gas petroleum cecair (LPG) warga Turki maut manakala tiga lagi kritikal dipercayai akibat terhidu gas ammonia yang bocor dari kapal di perairan antarabangsa di Barat Pelabuhan Klang, malam tadi.

Timbalan Pengarah Operasi Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Selangor Norihan Ngah dalam kenyataan berkata, kejadian dipercayai berlaku kira-kira jam 9 malam dan pihaknya menerima panggilan berhubung insiden itu dari sebuah agen perkapalan kira-kira jam 11 malam.

Katanya susulan itu, pihaknya menggerakkan anggota APMM Selangor bersama-sama Hazardous Material Unit Team (HAZMAT) Jabatan Bomba Dan Penyelamat Malaysia sekitar jam 3 pagi tadi ke lokasi kapal tangki itu MV Hamburg DW yang bersauh di Barat Daya Pulau Selat Kering, untuk mengeluarkan semua mangsa.

“Lelaki berusia itu 62 tahun itu meninggal dunia di kapal tangki berkenaan manakala tiga lagi mangsa, dua warga Turki dan seorang warga India berumur 28 hingga 50 tahun selamat, namun berada dalam keadaan kritikal.

“Punca kecederaan mereka semua adalah akibat terhidu gas ammonia. Dipercayai kebocoran gas berlaku pada kapal tangki tersebut,” katanya.

Norihan berkata, pihaknya juga telah memaklumkan kejadian kepada Kementerian Kesihatan dan polis.

Semua mangsa dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang untuk rawatan dan tindakan lanjut.

Tiada ulasan: