Rabu, 7 April 2021

Pinda undang-undang agar orang awam boleh saman pencemar air, kata peguam

Lebih sejuta penduduk Lembah Klang mengalami gangguan bekalan air 
akibat pencemaran. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Undang-undang harus dipinda untuk membolehkan orang awam membawa sendiri kes pencemaran air ke mahkamah, kata peguam hak asasi manusia Edmund Bon.

Bon berkata, peruntukan sedia ada bergantung pada pihak berkuasa untuk menyiasat dan mendakwa mereka yang disyaki mencemarkan air.

“Mereka tidak menyediakan sebarang remedi secara langsung untuk rakyat, penduduk atau komuniti yang terkesan untuk membawa sendiri kes-kes sedemikian (ke mahkamah),” katanya kepada FMT.

“Undang-undang telah menyumber luarkan kuasa dan remedi kepada pihak berkuasa awam untuk bertindak sebagai orang tengah kita. Sekiranya mereka tidak bertindak atau korup, tiada apa yang orang boleh buat.”

Bon berkata, antara tindakan yang boleh diambil oleh orang awam adalah memfailkan aduan kepada agensi yang berkenaan sekiranya mereka terkesan dengan pencemaran air.

September lalu, hampir 1.2 juta pengguna di Lembah Klang terjejas dengan gangguan bekalan air akibat pencemaran dari sebuah kilang. Sebulan kemudian, sekitar 1.19 juta pengguna mengalami nasib yang sama susulan satu lagi kejadian pencemaran sungai.

Awal bulan ini, Menteri Alam Sekitar dan Air Tuan Ibrahim Tuan Man mencadangkan pindaan terhadap Akta Kualiti Alam Sekitar 1974 supaya turut memasukkan denda sehingga RM15 juta dan penjara mandatori bagi mereka yang didapati bersalah menyebabkan pencemaran sisa buangan terjadual.

Terkini, hukuman maksimum denda sehingga RM500,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun, atau kedua-duanya sekali.

Bon berkata membenarkan orang awam membawa kes secara terus ke mahkamah, di mana mereka boleh menyaman kerajaan dan perniagaan, bermaksud mereka tidak lagi perlu bergantung kepada pihak berkuasa awam untuk menggunakan hak perundangan mereka.

Beliau menggesa mahkamah supaya memberi lebih kedudukan perundangan untuk NGO dan individu membawa kes mereka didengar di mahkamah.

“Ini adalah maksud sebenar memberi semula kuasa kepada rakyat,” katanya. “Buat masa ini, kita menganggap pihak berkuasa akan berniat baik dalam tindakan mereka. Kita boleh lihat perkara ini jauh sekali dari realiti.”

Tiada ulasan: