Jumaat, 23 April 2021

52 notis dikeluarkan kepada peniaga bazar Ramadan di Terengganu

Oleh ROSALINDA MD SAID

KUALA TERENGGANU: Sebanyak 52 notis dikeluarkan kepada peniaga bazar Ramadan di negeri ini atas pelbagai kesalahan membabitkan kompaun sebanyak RM5,450. 

Pengarah Kesihatan negeri, Dr. Nor Azimi Yunus berkata, jumlah tertinggi melibatkan daerah Besut dengan 14 notis diikuti Marang (12), Setiu (sembilan), Kuala Nerus (tujuh), Kuala Terengganu (tiga), Dungun (tiga), Kemaman (tiga) dan Hulu Terengganu (satu).

Katanya, kesemua notis berkenaan dikeluarkan mengikut Seksyen 32B Akta Makanan 1983 kerana kesalahan yang melanggar Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009 (PPKM).

“31 notis membabitkan kesalahan tidak memakai apron manakala 11 notis lagi ialah peniaga atau pekerja tidak mengikuti kursus pengendalian makanan, kebersihan diri yang tidak memuaskan (lapan) dan lain-lain kesalahan (dua),” katanya ketika dihubungi pemberita di sini hari ini. 

Menurut Nor Azimi, operasi yang dijalankan itu dalam masa sama bertujuan mencegah kejadian penyakit bawaan makanan seperti keracunan makanan, kolera dan kepialu.

Katanya, pemantauan akan diteruskan sehingga akhir Ramadan dan sampel makanan yang dijual turut diambil secara rawak bagi memastikan tahap keselamatan hidangan. 

“Orang ramai turut diingatkan agar sentiasa memilih gerai jualan yang bersih, makanan yang bertutup di samping menggunakan kaedah hidu dan rasa sebelum membeli juadah,” katanya.- UTUSAN ONLINE

Tiada ulasan: