Jumaat, 23 April 2021

Isu azan : Kerajaan negeri tunggu laporan

Oleh NORHAYATI YAHAYA
MOHD. Zawawi (tengah) bersama Muhammad Zikril Azan (kiri) menunjukkan harga barang terkawal sewaktu Walkabout Perlaksanaan Skim Harga Maksimum musim perayaan 2021 di Pusat Membeli Belah AEON Shah Alam Selangor pada hari ini. UTUSAN/ZULFADHLI ZAKI

SHAH ALAM: Kerajaan negeri masih menunggu laporan berhubung aduan membabitkan penduduk di Graham Garden, Eco Grandeur, Bandar Puncak Alam, Kuala Selangor kelmarin.

Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam, Pengguna dan Industri Halal negeri, Mohd. Zawawi Ahmad Mughni berkata, buat masa ini, pihaknya telah meminta wakil rakyat di situ untuk mengadakan dialog bersama penduduk di situ untuk mencari jalan penyelesaian.

Menurutnya, isu tersebut tidak seharusnya timbul memandangkan terdapat garis panduan pada 2017 yang membenarkan surau dan masjid melaungkan azan menggunakan pembesar suara di Selangor.

“Saya mendapat aduan ini menerusi media sosial. Kita hidup dalam keadaan masyarakat berbilang kaum dan seharusnya hal seperti ini dibincangkan oleh penduduk.

“Perkara ini seharusnya tidak dihebohkan sehingga boleh menyebabkan salah faham dan akhirnya membuatkan orang awam membincangkannya secara di luar konteks,” katanya.

Mohd. Zawawi berkata demikian berhubung isu penduduk Graham Garden, Eco Grandeur, Bandar Puncak Alam yang mengatakan pihak surau tidak boleh azan menggunakan pembesar suara di kawasan itu yang diterima oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeram, Mohd. Shaid Rosli.

Penduduk mendakwa, sekiranya pihak surau mahu menggunakan pembesar suara, mereka perlu menunggu mesyuarat yang diadakan bagi membincangkan kebenaran azan menggunakan pembesar suara. 

Terdahulu, Mohd. Zawawi hadir ke sesi walkabout Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Hari Raya Aidilfitri 2021 di Aeon Mall, Seksyen 13 di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Selangor, Muhamad Zikril Azan Abdullah.

Pada masa sama, Mohd. Zawawi mengingatkan para peniaga di negeri itu agar mematuhi peraturan di bawah skim SHMMP ini bagi mengelak tindakan tegas dikenakan terhadap mereka.- UTUSAN ONLINE

Tiada ulasan: