Khamis, 8 April 2021

40 dikompaun RM1,500 hingga RM10,000 kerana berada di kafe lebih masa

Ketua Polis Daerah Sibu Stanley Jonathan Ringgit berkata, semasa pemeriksaan 
dijalankan, semua suspek didapati melakukan kesalahan kerana berada dalam 
premis yang beroperasi melebihi masa ditetapkan. (Gambar Bernama)

SIBU: Empat puluh individu dikenakan kompaun antara RM10,000 dan RM1,500 selepas didapati berada di sebuah kafe, di Jalan Adam, melebihi tempoh yang dibenarkan beroperasi semasa perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) lewat malam semalam.

Ketua Polis Daerah Sibu Stanley Jonathan Ringgit berkata, individu yang dikompaun itu terdiri daripada seorang pemilik kafe yang dikenakan kompaun RM10,000, manakala lapan pekerja dan 31 pelanggan masing-masing dikenakan kompaun RM1,500.

Katanya, pada jam 10.45 malam semalam, sepasukan polis dan anggota penguat kuasa Majlis Perbandaran Sibu (MPS) melakukan pemeriksaan di kafe tersebut.

“Semasa pemeriksaan dijalankan, kesemua suspek didapati melakukan kesalahan apabila pemilik premis dan pelanggan berada dalam premis yang beroperasi lebih masa,” katanya.

Beliau berkata, berdasarkan siasatan awal, kafe tersebut yang menjalankan perniagaan makanan jenis BBQ dan menjual minuman alkohol didapati penuh dengan pelanggan.

Tiada ulasan: