Khamis, 8 April 2021

Jemaah sudah divaksin boleh tunai umrah sempena Ramadan, kata Arab Saudi

Kementerian Saudi turut mengemukakan pelan musim Ramadan, meliputi 
peningkatan operasi Masjidil Haram sambil mematuhi semua langkah 
pencegahan dikeluarkan pihak berwajib. (Gambar AP)

JEDDAH: Mekah sedia menerima jemaah umrah yang sudah menerima suntikan vaksin sempena Ramadan, lapor agensi berita Arab Saudi, SPA.

Perkara itu diumumkan pihak berkuasa berkaitan dalam mesyuarat jawatankuasa pusat haji yang dipengerusikan Penasihat Penjaga Dua Masjid Suci, Putera Khaled Al-Faisal, pada Rabu.

Putera Khaled menekankan mengenai kepentingan usaha dan koordinasi bersepadu untuk memastikan semua persediaan menyambut kedatangan jemaah berjalan lancar demi keselamatan pengunjung.

Dalam mesyuarat itu, Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi turut mengemukakan pelan musim Ramadan, meliputi peningkatan operasi Masjidil Haram sambil mematuhi semua langkah pencegahan dikeluarkan pihak berwajib.

Permit menunaikan umrah akan diberikan kepada mereka yang sudah menerima dua dos vaksin Covid-19, mereka yang imun selepas 14 hari menerima dos pertama, dan mereka yang imun serta sudah pulih daripada jangkitan.

Permohonan permit untuk menunaikan umrah, solat dan lawatan, slot waktu yang ada, dan pengesahan akan dibuat melalui aplikasi (Eatmarna) dan (Tawakkalna).

Pengurusan hal ehwal Masjidil Haram dan Masjid Nabawi turut mengemukakan pelan operasi sepanjang Ramadan yang akan dilaksana oleh 4,422 petugas.

Dalam pelan itu, 14 laluan disediakan untuk tawaf dan tiga laluan paling hampir dengan Kaabah dikhaskan kepada warga emas serta orang kurang upaya.

Hampir 5,000 pekerja lelaki dan wanita akan melakukan operasi pensterilan dan pembasmian kuman secara kerap, poster panduan turut akan diletakkan di semua ruang solat untuk meningkatkan kepatuhan kepada penjarakan fizikal.

Selain itu, Lapangan Terbang Raja Abdulaziz, turut menempatkan pasukan khas untuk menyambut ketibaan jemaah dan akan bekerjasama dengan agensi kerajaan serta penyedia perkhidmatan.

Pasukan itu akan mengendalikan jemaah di lapangan terbang untuk memastikan jemaah mematuhi garis panduan ditetapkan Kementerian Kesihatan Arab Saudi.

Kemudahan pengangkutan turut disediakan termasuk perkhidmatan Kereta Api Berkelajuan Tinggi Haramain serta menetapkan laluan ekspres untuk jemaah umrah.

Tiada ulasan: