Khamis, 8 April 2021

Lelaki maut tercampak dari kenderaan

 Faris Fuad

 Nahas membabitkan empat kenderaan di Kilometer 32 Jalan Kuala Lumpur-Ipoh, dekat Sungai Choh, Rawang, hari ini. - Foto ihsan polisNahas membabitkan empat kenderaan di Kilometer 32 Jalan Kuala Lumpur-Ipoh, dekat Sungai Choh, Rawang, hari ini. - Foto ihsan polis

KUALA LUMPUR: Seorang lelaki maut apabila tercampak keluar dari kereta dipandunya sebelum dilanggar dalam nahas membabitkan empat kenderaan di Kilometer 32 Jalan Kuala Lumpur-Ipoh, dekat Sungai Choh, Rawang, hari ini.

Dalam kemalangan kira-kira jam 6.20 pagi itu, mangsa berusia 25 tahun yang bekerja sebagai pemandu lori, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Timbalan Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Deputi Superintendan Ridzuan Khalid, berkata siasatan awal mendapati kereta jenis Perodua Kancil dipandu mangsa dipercayai hilang kawalan lalu terlanggar tayar belakang sebuah lori dari arah bertentangan.

Beliau berkata, rempuhan itu menyebabkan mangsa tercampak keluar apabila keretanya terbalik sebelum menghempap sebuah Perodua Alza dipandu seorang pelajar berusia 23 tahun.

"Sebuah kereta jenis Proton Wira dipandu seorang wanita pula tidak sempat mengelak lalu melanggar mangsa yang berada di laluannya.

"Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi, manakala pelajar terbabit dilaporkan cedera ringan.

"Kedua-dua pemandu lori dan Proton Wira masing-masing berusia 28 tahun serta lingkungan 30-an pula dilaporkan tidak mengalami kecederaan," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, mayat mangsa kemudian dibawa ke Hospital Kuala Kubu Bharu untuk bedah siasat.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Tiada ulasan: