Tuesday, July 21, 2020

PPZ-MAIWP terus bantu golongan B40

Oleh Asliza Binti Musa

KUALA LUMPUR: Golongan isi rumah berpendapatan rendah ( B40) yang terjejas akibat penularan Covid-19 terus dibantu menerusi  Program Usrah Saeedah yang digerakkan Pusat Pungutan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP).

Program tanggungjawab sosial korporat (CSR) PPZ-WAIWP iaitu Khaira PPZ itu adalah kesinambungan usaha pusat tersebut dalam meringankan beban ditanggung golongan memerlukan bantuan selepas program Musaadah Khaira PPZ.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Ahmad Shukri Yusoff berkata, program itu yang bermula bulan ini sehingga Disember depan menyasarkan 10 kes menerusi peruntukan sebanyak RM100,000 daripada dana wakalah dan syarikat-syarikat yang berkerjasama.

Katanya, individu yang layak diberikan bantuan tambahan secara ‘one off’ berbentuk keperluan asasi seisi rumah termasuk perubatan, kenderaan, pekerjaan dan peralatan rumah serta baik pulih dan menyediakan rumah baharu.

“Ia berbeza dengan program-program CSR lain kerana ia diadakan secara menyeluruh untuk seisi keluarga.

“Kami sangat mengalu-alukan koloborasi bersama syarikat-syarikat korporat atau mana-mana pihak untuk sama-sama menghulurkan tangan bagi membantu mereka yang memerlukan bantuan,” katanya dalam kenyataannya di sini. 

Program tersebut dirasmikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri di Jalan Kampung Pandan di sini semalam.

Ahmad Shukri berkata, program itu antara lain sebagai tanda keprihatinan institusi zakat dalam membantu mereka yang memerlukan bantuan di samping menggalakkan lebih ramai individu dan syarikat menunaikannya.

“Program ini adalah satu bentuk bantuan bersama yang boleh dilakukan secara berpasukan dengan mana-mana pihak.

“Saya menyeru semua umat Islam yang layak segera menunaikan zakat agar dapat membantu lebih ramai golongan memerlukan yang terjejas akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),” katanya. – UTUSAN ONLINE

No comments: