"SETIAP malam saya menangis berdoa kepada Allah semoga diringankan beban," kata pesara tentera, Azmi Mahmud , 55 yang menghidap lima penyakit kronik hingga menghalangnya bekerja untuk menyara keluarga.
Azmi yang menghidap penyakit buah pinggang rosak, sakit jantung, kencing manis, darah tinggi dan hati bengkak itu sudah tidak mampu untuk bekerja selain bergantung sepenuhnya dengan anak keduanya yang juga orang kurang upaya (OKU).
Katanya, dia mengalami kemalangan pada 2008 ketika dalam perjalanan ke tempat kerja menyebabkannya patah kaki dan tulang punggung.
"Saya tidak boleh bekerja sejak itu dan terpaksa menjalani dialisis. Saya menerima bantuan daripada Baitumal sebanyak RM500 dan bantuan sara hidup tentera RM300 setiap bulan.
"Namun, jumlah itu tidak mencukupi kerana kos perubatan sahaja menelan belanja RM1,500 setiap bulan kerana saya juga memakai lampin pakai buang," katanya kepada Harian Metro.
Menurut Azmi, dia terpaksa menebalkan muka meminta sumbangan pada kawan-kawan atau jiran jika tidak mempunyai duit untuk membuat rawatan dialisis.
"Ketika ini saya perlukan kewangan untuk membeli kerusi roda yang lebih besar berharga kira-kira RM900 memandangkan yang sedia ada tidak lagi sesuai," katanya.
Duda empat anak itu berkata, dia tidak mahu bergantung harap dengan anak-anaknya kerana ada yang sudah berkeluarga dan mempunyai tanggungjawab masing-masing.
"Setiap malam saya menangis berdoa kepada Allah dan harapan saya kalau ada insan yang sudi memberi bantuan untuk membeli kerusi roda pun saya sudah bersyukur," katanya yang menetap di PPR Laksamana Jalan Peel.
Orang ramai ingin membantu boleh menyalurkan sumbangan terus ke akaun Maybank (1644-9021-7365) milik Azmi Mahmud
No comments:
Post a Comment