PUTRAJAYA – Lelaki Bangladesh yang ditahan pihak berkuasa selepas mendakwa kerajaan memberi layanan buruk kepada migran ketika sekatan pergerakan Covid-19 dalam dokumentari Al Jazeera, hari ini memohon maaf kepada kerajaan atas kenyataannya yang mendakwa diskriminasi terhadap pendatang asing tanpa izin (PATI).
Bercakap kepada wartawan selepas menemui Md Rayhan Kabir, peguam Selvarajaa Chinniah dan Sumitha Shaanthini berkata komen itu hanyalah pandangan peribadi anak guam mereka.
Selvarajaa berkata, Rayhan sedih melihat rakannya “ditahan dan dirantai” dalam serbuan ke atas PATI Mei lalu.
“Dia tidak berniat mendakwa pihak penguatkuasa. Dia ingin pulang untuk bersama keluarganya,” katanya sambil menambah polis sudah mengambil keterangan Rayhan.
Selvarajaa berkata, Rayhan memaklumkan dia dilayan dengan baik oleh pihak berkuasa sepanjang penahanannya.
“Dia diberikan layan sempurna dengan makanan baik. Katanya dia tiada aduan mengenainya.
“Kami akan menulis surat secara rasmi kepada Jabatan Imigresen mengenai tindakan lanjut mereka dan bila mereka akan menghantarnya pulang,” katanya lagi.
Rayhan ketika ditemubual dalam sebuah dokumentari terbitan Al Jazeera menerusi program 101 East telah mencetuskan kemarahan rakyat Malaysia.
“Mereka pasang perangkap untuk kami,” katanya dalam laporan bertajuk “Locked Up in Malaysia’s Lockdown”.
Pada 7 Julai lalu, Jabatan Imigresen menyiarkan butiran peribadi Rayhan, selepas gagal mengesannya untuk membantu siasatan di bawah Akta Imigresen 1959/63.
Polis turut memulakan siasatan hasutan ke atas 6 penerbit, juruvideo dan wartawan dokumentari itu yang dipanggil untuk memberi keterangan di Bukit Aman awal bulan ini.
‘Saya tak buat apa-apa kesalahan pun’ – Md Rayhan
Terdahulu, Md Rayhan menafikan dia melakukan kesalahan jenayah sewaktu ditemubual Al Jazeera berkaitan pendatang asing tanpa izin (PATI) di Malaysia baru-baru ini.
Menurut laporan akhbar The Daily Star di Bangladesh, lelaki warga Bangladesh berusia 25 tahun itu memberitahu dia hanya bercakap mengenai diskriminasi terhadap PATI menerusi program terbitan stesen televisyen antarabangsa itu.
“Saya hanya mahu maruah negara dan migran seperti saya terjamin. Saya yakin semua pendatang dan Bangladesh akan bersama saya dalam isu ini,” katanya dipetik sebagai berkata.
Semalam, Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Khairul Dzaimee Daud mengesahkan penahanan Md Rayhan yang diburu pihaknya sebelum ini bagi membantu siasatan mengikut Akta Imigresen 1959/63.
Beliau turut mengesahkan bahawa Md Rayhan akan diusir keluar dan disenaraihitam daripada memasuki Malaysia untuk selama-lamanya.
Md Rayhan menjadi buruan selepas membuat dakwaan tidak berasas kononnya wujud diskriminasi kerajaan Malaysia dalam mengendalikan kes koronavirus (Covid-19) melibatkan warga asing.
Dakwaan itu diterbitkan menerusi sebuah dokumentari oleh Al Jazeera pada 3 Julai lalu dan susulan itu polis turut menyiasat mereka yang terlibat dalam penghasilan dan penyiaran dokumentari tersebut.
No comments:
Post a Comment