Friday, July 31, 2020

Wahai peniaga dalam talian, tolonglah jangan menipu!

' Che Pah '

kurma-681x908

Marhaba… Sejak kebelakangan ini penjualan dalam talian atau online sangat popular sekali. Tak menang tangan pengusaha produk mahupun penggendali khidmat penghantaran barangan melaksanakan tugasan.

Che Pah termasuk antara pelanggan yang begitu setia membuat pembelian melalui online. Pelbagai barangan Che Pah beli.

Semasa arahan PKP dilaksanakan, boleh dikatakan setiap hari ada sahaja barangan yang Che Pah beli.

Dari barangan makanan, kelengkapan diri sehinggakan baja pokok tahi ayam pun Che Pah beli melalui online. Mudah dan cepat.

Antara barangan yang paling kerap Che Pah beli melalui online termasuklah kurma. Bukan apa , Che Pah ini peminat kurma. Setiap hari Che Pah akan bersarapan dengan kurma dan susu.

Ini menu sarapan pagi yang wajib buat Che Pah selain semangkuk bijirin oat. Dah tua tua ini kena banyakkan pengambilan serat, katanya.

Alhamdulillah sepanjang Che Pah membuat pembelian melalui online, tiada masalah yang Che Pah hadapi.

Sehinggalah baru baru ini Che Pah menghadapi sedikit kerumitan dengan tingkah seorang penjual kurma melalui sebuah pasar raya online yang terkenal di dalam negara kita ini.

Segalanya bermula apabila Che Pah berhasrat untuk membeli kurma yang sudah kehabisan di dalam peti ais.

Che Pah pun mula menggeledah laman jualan online terkenal ini. Che Pah kemudiannya tertarik dengan sejenis kurma serta harga yang ditawarkan.

Che Pah ini penggemar kurma rotab. Kurma ini lembut dan basah serta sesuai untuk dibuat air nabeez. Air nabeez ini ialah air rendaman kurma semalaman.

Ia bagus untuk sistem pencernaan kita. Kadang kala Che Pah campurkan beberapa biji kurma rotab ini ke dalam segelas susu kambing.

Ini biasa Che Pah lakukan apabila terasa lapar. Dari kita mengambil makanan yang tidak tentu khasiat , lebih baik kita ambil makanan yang tinggi kandungan vitaminnya.

Jadi apabila melihatkan harga kurma rotab yang boleh dikatakan jauh lebih murah dari penjual lain, Che Pah terus membuat tempahan.

Kali ini Che Pah ambil keputusan untuk membeli satu dozen terus. Dalam hati berkata, tidak perlulah Che Pah hendak ulang membeli. Jimat duit pos.

Alhamdulillah tidak berapa lama selepas membuat tempahan, penjual kurma terus menjawap tempahan Che Pah serta mengucapkan terima kasih atas pembelian Che Pah..

Dia menjelaskan akan membuat penghantaran secepat mungkin.

Che Pah sebagai pembeli tentu rasa seronok dengan kepantasan menjawap serta kemesraan penjual seperti ini.

Selang dua hari, kurma yang Che Pah tempah itu pun sampai. Wah, ini sudah bagus, kata hati Che Pah. Pastinya penjual ini boleh dipercayai, getus hati Che Pah.

Tanpa menunggu lagi, Che Pah terus membuka kotak tersebut lantas mengeluarkan sekotak kurma untuk Che Pah lihat kualiti kurma.

Secara zahirnya, Che Pah lihat kurma masih dalam keadaan baik. Perkara kedua Che Pah buat ialah memeriksa tarikh luputnya.

Alangkah terperanjatnya Che Pah kala terpandang tarikh luput yang terpampang pada kotak kurma.. Tarikh luputnya ialah pada 1.8.2020. Che Pah menggosok mata beberapa kali.

Manakan tidak terperanjat. Che Pah terima kurma kurma tepat pada 17.7.2020.Ini bermakna Che Pah hanya ada masa kurang dua minggu untuk menghabiskan satu dozen kurma.

Mana mungkin Che Pah habiskan kurma sebanyak itu. Takkan nak masak asam pedas masuk kurma, kari kurma atau mee bandung kurma kot demi nak menghabiskan satu dozen kurma sebelum tarikh luputnya.

Che Pah lantas mengambil sebiji kurma. Kurma sudah kering dan kecut. Ia sepatutnya basah dan lembut. Maklum, ia mula diproses pada 1.8.2018.

Bagi Che Pah ini sebuah kes penganiayaan serta penipuan terhadap pelanggan. Perkara sebegini tidak boleh dibiarkan.

Lantas Che Pah terus menghantar mesej kepada penjual. Tidak berapa lama kemudian dia menjawab.

Malangnya tiada langsung permohonan maaf seperti yang Che Pah harap. Penjual hanya men jelaskan bahawa itu kesalahan pihak kilang dan bukan kealpaan dia.

Penjual kurma itu juga menjelaskan itulah sebab mengapa dia memberi harga yang murah kepada kurma yang dijualnya

Kemudian dia meminta Che Pah meletak kurma tersebut di dalam ruang sejuk beku agar ia lebih tahan lama.

Adakah ini jawapan yang diharapkan oleh seorang pembeli seperti Che Pah?

Che Pah sedikit hampa dengan jawapan penjual kurma ini. Namun untuk marah itu bukan gaya Che Pah. Che Pah lebih menjurus kepada sikap menasihati. Apatah lagi penjual itu seorang Melayu/Muslim.

Lantas Che Pah membalas mesej penjual tersebut. Che Pah jelaskan sesuatu yang nyata namun mungkin sedikit pedih sehingga menusuk ke jiwa.

Che Pah jelaskan kepada dia, sebagai usahawan Islam perkara pertama yang wajib ada ialah sikap jujur.

Jika mahu menawarkan harga murah bagi dagangan kita, kita harus menyebut mengapa kita berbuat demikian. Adakah kerana ia sudah sedikit rosak pembungkusannya atau menghampiri tarikh luput.

Sertakan sebab. Jadi pembeli tahu mengapa dan terpulang kepada pembeli untuk membuat pertimbangan.

Jika seorang penjual menyembunyikan fakta ini semata mata kerana takut rugi dan barang tidak laku dek tarikh luput yang semakin dekat, itu bukan satu perbuatan yang jujur.

Itu dikatakan sebagai menipu pelanggan. Anda bukan sahaja akan kehilangan sebuah kepercayaan dari pelanggan, malah hilang keberkatan dalam mencari rezeki.

Apabila diperlakukan sebegini, Pastinya Che Pah sudah hilang kepercayaan kepada dia. Dia sudah rugi kerana hilang seorang pelanggan.

Che Pah masih ingat pesan nenek yang Che Pah panggil Emak. Emak selalu menasihati Che Pah. Kata Emak, dalam hidup ini kejarlah berkat dan bukannya kaya.

Jika berkat, duit 10sen boleh jadi RM1 kata Emak. Dek kerana berkat nilainya boleh jadi berganda ganda.

Salah satu cara mencari rezeki yang berkat ialah dengan bersikap jujur dan amanah. Jauhkan dari menipu dalam berniaga. Kaya macam mana pun, jika tak berkat duit akan berada sekejap saja dalam kantung kita selepas itu ia akan berlalu pergi.

Akhirnya Che Pah ambil keputusan untuk memulangkan semula kurma tersebut.

Prosedurnya bukan mudah. Walau pihak penggendali jualan online ini telah menyediakan kemudahan pos secara percuma menggunakan khidmat Poslaju, ia masih merenyahkan kita sebagai pembeli.

Apatah lagi kita hanya diberi masa tiga hari sahaja untuk menyelesaikan proses penghantaran semula sebelum duit kita dipersetujui oleh penjual untuk dipulangkan semula.

Setelah wang Che Pah dikembalikan, penjual kurma cuba mengambil hati dengan menghantar voucher potongan harga untuk membeli produk jualan mereka.

Awak rasa Che Pah ada masa untuk membeli lagi dengan mereka? Setelah kepercayaan Che Pah disiat siat dan harapan tinggal harapan?

Ini nasihat ikhlas Che Pah buat usahawan terutama Islam/Melayu. Tolonglah bersikap jujur, amanah serta bertanggungjawab dalam berniaga.

Ikuti contoh Rasulullah SAW. Saidatina Khadijah terpikat dengan Rasulullah bukan kerana ketampanan Rasulullah semata mata.

Akan tetapi Sayidatina Khadijah sebenarnya terpesona dengan kejujuran yang terpancar dalam diri anak muda berusia 25 tahun ini Ini kerana kejujuran Baginda dalam menguruskan perniagaannya.

Teladan ada di depan kita. Masihkah kita mahu berbohong dalam berniaga? Rugi sekotak kurma tak terbanding rasanya dengan kehilangan kepercayaan seorang pelanggan.

Juga mampukah kita nanti menjawap persoalan Ilahi di padang timbang tara nanti? Mahu berbohong lagi waktu itu? Maaf.. Mulut waktu itu telah luput tarikhnya. Anggota lain pula yang akan berkuasa. Mengambil tempat dan berkata benar semata mata.

Wahai usahawan Islam/Melayu bangkitlah dengan sifat jujur dalam berniaga. Usah difikirkan laba semata mata. Laba itu sekadar untuk dunia.

Pinggirkan rasa tamak untuk kaya. Kaya dalam menipu tiada memberi makna. Bakal kusut hidup akhirat dan dunia.

Sebagai pembeli Che Pah sudah menjalankan tanggung jawab dengan menasihati. Andai waktu itu penjual masih berdegil, maka ke Tribunal Pengguna jawapnya bertemu.

No comments: