Wednesday, July 29, 2020

Apabila mereka bergelar pemimpin jahil murakab

Prof Dr Mohd Ridhuan Tee Abdullah


Sanggup menggelar, melabel Rasulullah ﷺ sebagai pelarian

BELUM pernah saya terbaca kajian dan buku, mengatakan bahawa status Rasulullah ﷺ adalah seorang pelarian.

Inilah kali pertama mendengar daripada mulut seorang yang mengaku beragama dan beramal dengan Islam, jahil sejahilnya, meletakkan martabat Rasulullah ﷺ sebegitu rendah, sebagai pelarian, istilah yang digunakan hari ini, yang dikatakan sama dengan istilah penghijrah.

Ini satu kejahilan hingga ke tahap murakab. Jika tidak tahu, bertanya, jangan jadi jahil. Mengucaplah.

Kajian demi kajian dibuat oleh sarjana barat dan orientalis, yang terbit daripada mulut mereka, tetap perkara yang baik-baik mengenai Rasulullah ﷺ, kecuali musuh-musuh Islam.

Hatta, Michael Hart, dalam buku 100 orang yang paling berpengaruh di dunia, tetap meletakkan Baginda Rasulullah ﷺ di tempat yang pertama, meskipun kajian turut dilakukan ke atas Nabi Musa A.S dan Nabi Isa A.S.

Turut dibandingkan dengan orang orang hebat yang lain seperti Einstein, Galileo, dan lain-lain.

Begitu juga kajian-kajian lain seperti Bernard Shaw, Zuwaimer, seorang Orientalis Kanada, Bretly Hiler, seorang Orientalis Jerman, Bernardesho, seorang penulis dan pengkritik British, Snersten Elasogi, Professor Bahasa Aramaic, Senex, seorang orientalis Amerika Syarikat, Lev Tolstoy, seorang sastrawan Russia, Shaberk, cendiakawan Austria, Thomas Carlyle, seorang Ahli Falsafah Inggeris – Pemenang Hadiah Nobel, Gotah, seorang sasterawan Jerman dan lain-lain.

Semua memuji Nabi ﷺ , langsung tidak ada istilah negatif atau istilah pelarian muncul.

Tiba-tiba semalam, terbit perkataan Nabi Muhammad ﷺ juga seorang pelarian. Selepas ini, ultra kiasu dan musuh-musuh Islam akan menggunakan istilah Melayu juga pelarian daripada Tanah Jawa ke Tanah Melayu.

Si jahil ini langsung tidak dapat memahami istilah ini daripada sudut ilmu dan epistimologinya.

Istilah pelarian digunakan sewenang-wenang, tanpa dibahaskan dahulu istilah negara dan negara bangsa.

Adakah dahulu wujud istilah sempadan kepada sesebuah negara berbanding hari ini, yang telah dimuktamadkan, bahawa setiap negara perlu ada kerajaan yang berkuasa, sempadan yang berdaulat, dan sebagainya.

Dahulu, mana ada istilah-istilah ini negara dan negara bangsa.

Siapa kuat mereka yang berkuasa. Empayar bertukar empayar, dinasti bertukar dinasti. Begitulah pusingannnya.

Mereka akan berhijrah ke mana sahaja yang mereka sukai dalam kalangan mereka.

Misalnya, pergerakan orang orang Arab dalam negara-negara Arab atau Timur Tengah.

Begitu pergerakan atau penghijrahan orang Melayu dalam kepulauan Melayu. Adakah Melayu layak digelar pelarian atau pendatang?

Sesama bangsa, bergerak dalam kawasan persekitaran mereka. Itu bukan pelarian.

Berbanding dengan bangsa asing yang mendatangi sesuatu kawasan asing. Amat berbeza.

Misalnya, bangsa Cina mendatangi alam Melayu dan tinggal di Tanah Melayu.

Begitu juga bangsa India mendatangi Tanah Melayu. Adakah mereka layak digelar sebagai pelarian atau pendatang mengikut sejarah?

Jawapannya, ya. Mereka pelarian dan juga pendatang. Namun, disebabkan oleh sikap teramat baik, tolak ansur bangsa Melayu, bangsa lain diterima sebagai warganegara setelah terbentuknya negara bangsa.

Tetapi ia tidak berlaku dalam konteks, Arab sesama Arab, atau Melayu sesama Melayu, atau Cina sesama Cina, India sesama India.

Sebab mereka bergerak dalam lingkungan sesama mereka di kawasan mereka. Mereka bukan pelarian.

Ini belum lagi dibahaskan istilah-istilah yang lebih rumit hari ini contohnya seperti:

Pertama, negara bersifat satu bangsa satu negara (one state one nation). Satu bangsa satu negara merujuk kepada negara sebangsa iaitu negara bersifat homogeneous.

Keadaan ini merujuk kepada asal-usul sesuatu bangsa yang tidak dihijrahi oleh bangsa lain.

Nama sesebuah bangsa, membentuk nama negaranya. Contoh, bangsa Jepun membentuk negara Jepun, bangsa Jerman membentuk negara Jerman, bangsa Cina membentuk negara China, bangsa India membentuk negara Islam.

Jika adapun bangsa lain yang berhijrah, bilangannya sangat minoriti.

Bangsa tanpa negara (nation without state) merujuk kepada sesuatu bangsa, tetapi tidak mempunyai negara.

Bangsa ini akan bertindak menuntut autonomi untuk hidup bernegara. Tindakan menuntut autonomi ini biasanya tidak disenangi oleh bangsa yang mempunyai negara. Misalnya, bangsa Melayu Patani di Selatan Thailand. Bangsa Melayu Pattani tidak mempunyai negara sendiri, kerana negara dimiliki oleh bangsa Siam (Thai).

Begitu juga dengan bangsa Moro di Selatan Filipina. Tindakan menuntut autonomi tidak disenangi oleh kerajaan Filipina.

Keadaan yang sama dialami oleh bangsa Kurdis yang mendiami utara Iraq.

Bangsa Kurdis berjaya membentuk wilayah autonomi Kurdistan, namun negara Kurdistan tidak diiktiraf sebagai sebuah negara oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Begitu juga dengan umat Islam Islam di Palestin, sehingga kini masih tidak mempunyai negara, tidak diiktiraf oleh PBB.

Kedua, negara tanpa bangsa (state without nation). Keadaan ini dapat dilihat dalam sesebuah negara yang diperakui kedaulatannya, tetapi tidak jelas dari segi identiti bangsa yang dibina.

Dalam konteks ini, negara Malaysia dirujuk sebagai negara tanpa bangsa, walaupun asal usul Malaysia adalah daripada Tanah Melayu, sebuah negara yang dihuni sepenuhnya oleh bangsa Melayu.

Orang Cina yang mendatang dapat menjadi warganegara disebabkan oleh proses akomodasi orang Melayu dalam memberikan kewarganegaraan secara terbuka kepada yang berhak tanpa mengira latar belakang.

Melalui proses kewarganegaraan yang dikatakan sebagai ‘stroke of a pen’, demografi negara berubah serta-merta.

Hampir 40 peratus daripada warganegaranya adalah orang bukan Melayu. Sebuah negara Melayu tiba-tiba menjadi masyarakat berbilang kaum.

Keadaan ini tidak pernah berlaku dalam sejarah dunia.

Pendek kata, setiap negara bangsa memiliki kumpulan bangsa asal yang membina dinasti, empayar dan negara bangsa mereka sendiri.

Namun, disebabkan oleh interaksi, penghijrahan, penjajahan, pelarian, perkembangan kapitalisme, geo-politik dan lanskap politik negara telah mengalami perubahan melalui perjanjian dan penaklukan semenjak abad ke-16.

Ketiga, istilah negara bangsa tamu, negara bangsa tamu merujuk kepada negara-negara seperti negara Jerman, United Kingdom, Perancis, China, India, Thailand, Indonesia, Myanmar, Sri Lanka, Brunei, Filipina, Malaysia dan lain-lain.

Kawasan atau wilayah negara ini diduduki oleh kumpulan etnik asal (Karolewski dan Suszycki 2011).

Dalam kata lain, bangsa Siam, membentuk negara Siam (Thailand). Bangsa Cina membentuk negara China. Bangsa Indonesia membentuk negara Indonesia. Begitulah juga proses seterusnya, negara-negara lain.

Pendek kata, hegemoni politik terdiri daripada anak watan.

Semua ini telah diiktiraf, diperakui dan diterima dunia.

Negara-negara ini menerima kedatangan imigran, mereka akan bernaung di bawah payung anak watan di situ.

Kita dapati berlaku proses asimilasi yang begitu ketara. Misalnya, imigran Cina di Thailand dan Indonesia tidak lagi menampakkan lagi identiti bangsanya kerana telah diserapkan ke dalam bangsa majoriti.

Keempat, negara bangsa ‘settler’. Negara bangsa ‘settler’ merujuk kepada sebuah negara bangsa ‘settler’ seperti Amerika Syarikat, Kanada, Australia, New Zealand, Singapura dan sebagainya.

Imigran-imigran yang menduduki negara itu mendominasi negara yang dimigrasi, meminggirkan anak watan, meletak di tanah-tanah rezab dan ada yang menghapuskan anak-anak watan asalnya (Delora 1998, Wolfe 2006).

Melalui pemilikan tanah, penguasaan ekonomi dan politik oleh imigran ‘settler’ ini, kedudukan anak watan tidak diperakui dan diterima.

Hegemoni politik diganti dengan kumpulan etnik yang menguasai ekonomi dan politik seperti WASP, Anglo-Celtic, Perancis, Cina dan sebagainya.

Adakah si jahil ini tahu istilah-istilah ini sebelum label pelarian diletakkan kepada baginda Rasulullah ﷺ ?

Amat malang sekali dalam sejarah negara ini, apabila seorang pemimpin beragama Islam, berucap di Parlimen, tanpa melihat semua fakta, asal usul negara dan negara bangsa dan pengkelasan jenis-jenis negara.

Inilah akibatnya apabila mendapat pemimpin jahil. Sebab itu, bila dah jahil bertanya, jangan sedap bercakap.

Lebih-lebih lagi jika percakapan kita boleh merosakkan imej Islam sehingga musuh mengambil kesempatan. Bertaubatlah, wahai saudaraku. Pendapat yang saudara keluarkan teramat jahil.

Saya melihat, semua isu ini dibangkitkan untuk menutup isu-isu yang lebih besar hari ini, seperti Tabung Haji. ISMA WEB.

No comments: