Tuesday, July 21, 2020

Siti Kassim buat hal lagi, pertikai JAIK tangkap pasangan berkhalwat

Siti Kassim Pertikai Tindakan Tangkap Pasangan Berzina Di Hotel

Tindakan Penguatkuasa Jabatan Agama Islam yang melakukan operasi pencegahan khalwat di negara ini dibidas.

Menurut aktivis masyarakat, Siti Zabedah Kassim tindakan penguatkuasa agama menyerbu dan menangkap pasangan yang belum bernikah duduk berdua-duaan adalah melanggar hak peribadi mereka.

“Kenapa sebilangan bangsa Melayu suka kehidupan peribadi mereka dikawal seperti ini? Sekarang masanya untuk sedar! Apa yang kamu lakukan secara peribadi adalah hal kamu!

“Sekiranya kamu berdosa kamu akan menjawab dihadapan Tuhan. Lihatlah bagaimana penguatkuasa agama ini membawa petugas media ketika melakukan serbuan. Untuk apa? Apa yang ingin dipublisitikan?,” memetik kenyataannya di laman Facebook sebentar tadi.

Dia yang lebih dikenali dengan panggilan Siti Kasim turut menyeru agar rakyat Malaysia khususnya yang beragama Islam untuk sama-sama bangkit menyelar tindakan tersebut.

“Kenapa sebagai Melayu kita membenarkan orang agama mengawal dan memaksa untuk kita mengikuti kehidupan sendiri? Membenarkan mereka menghukum kita berulang kali ketika tiada mangsa?

“Sesiapa yang ingin membenarkan kehidupan mereka dikawal silakan (namun) ramai dikalangan kami tidak mahu. Sudah tiba masanya untuk kita bangkit dan mempersoalkan tindakan mereka itu,” bidasnya lagi.

Siti Kassim turut memuatnaik keratan berita mengenai tindakan Jabatan Agama Islam Kedah (JAIK) menahan sepasang kekasih yang sedang berkhalwat di sebuah motel di Kedah.

Pasangan yang bakal melangsungkan perkahwinan awal bulan depan itu antara yang ditahan dalam Operasi Pencegahan Maksiat yang diadakan bermula dari jam 10 malam sehingga 5 pagi, Khamis lalu.

Ketika ditanya wanita terbabit yang berasal dari Sik dan bekerja di sebuah kilang di Kulim itu mendakwa akan melangsungkan perkahwinan dengan pasangannya pada 3 Ogos depan.

Semua pasangan yang ditahan akan disiasat mengikut Seksyen 25 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Negeri Kedah 2014 kerana berkhalwat.

Jika sabit kesalahan mereka boleh didenda maksimum RM3,000 atau penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya sekali. SUARAtv

No comments: