Wednesday, July 29, 2020

Kemuka 7 resolusi bukti ‘kekebalan’ Dong Zong

ainulillia


Pelbagai desakan minta ia diharamkan, namun tiada tindakan

BANGI – Keberanian Dong Zong mengemukakan tujuh resolusi meskipun sudah berkali-kali mencetuskan kemarahan rakyat memperlihatkan ‘kekebalan’ mereka daripada sebarang tindakan.

Walaupun ramai ahli politik yang kini bergelar menteri pernah bersuara agar Dong Zong ini diharamkan, pertubuhan radikal Cina itu bagaimanapun masih kekal sehingga hari ini, kata Presiden gerakan Islam, Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Haji Aminuddin Yahaya.

“Mungkin Dong Zong yakin kerajaan tidak akan berani mengambil apa-apa tindakan terhadap mereka, sekolah vernakular dan sistem peperiksaan UEC.

“Ini adalah cabaran kepada Perikatan Nasional sejauh mana kerajaan menghargai pandangan umum orang Melayu dan menolak persepsi bahawa taikun-taikun Cina menguasai politik negara,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Terdahulu, Mesyuarat Agung Dong Zong meluluskan tujuh resolusi yang mana antaranya termasuk menuntut pengenalan tulisan Jawi di sekolah dilaksanakan seiring dengan pengenalan seni kaligrafi kaum lain.

Manakala, enam lagi resolusi lain yang diluluskan adalah mengenai semakan semula Akta Pendidikan 1996, menubuhkan jawatankuasa pemantau pendidikan serta penyaluran peruntukan secara adil kepada semua jenis aliran pendidikan.

Pertubuhan pendesak itu turut menuntut kerajaan menyegerakan pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC), mengembalikan status perundangan Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) dan pengecualian cukai tambahan ke atas pertubuhan tidak berasaskan keuntungan dan institusi pendidikan persendirian.

Haji Aminuddin berkata, jika resolusi-resolusi ini dilayan apatah lagi diterima, maka ia bermakna akan tertangguh segala usaha untuk membentuk perpaduan nasional secara mapan. 

Dengan merealisasikan resolusi itu juga, beliau berkata, Dong Zong pasti akan menjadi semakin sombong dan bongkak kerana walaupun dibenci rakyat, agenda mereka tetap berjaya melalui ahli-ahli politik.

“Ironinya lagi, sudah terlalu banyak cadangan dan resolusi yang diberikan oleh NGO-NGO Islam masih lagi tidak terlaksana. Maka, sangatlah janggal, ganjil dan mengecewakan sekiranya resolusi Dong Zong ini diterima oleh kerajaan. 

“Kepada sahabat-sahabat yang berada dalam kerajaan Perikatan Nasional sekarang yang sama-sama kita berjuang dahulu, lebih-lebih lagi dalam perjuangan melawan Dong Zong, UEC dan sekolah vernakular. 

“Maka inilah masa untuk kalian gunakan segala ruang dan kuasa yang ada untuk membuktikan ketelusan perjuangan kalian. Saya merayu, janganlah berkompromi. Tolonglah,” katanya.

No comments: