KUALA TERENGGANU: Kalangan pemancing dan pilot dron di negeri ini melahirkan rasa tidak puas hati susulan larangan memancing dan menerbangkan dron yang dikuatkuasakan di sekitar mercu tanda ikonik Terengganu, jambatan angkat atau drawbridge, bermula semalam.
Tindakan drastik dan tiba-tiba itu disifatkan tidak adil buat mereka sedangkan kedua-dua aktiviti tersebut banyak membantu merancakkan industri pelancongan di negeri ini khususnya dalam mempromosikan jambatan angkat.
Wakil Kelab Tanjung Angler Fish Hunter (TAFH), Mohd. Yusazmie Yahya berkata, tidak sepatutnya golongan pemancing dijadikan sasaran sekiranya larangan tersebut berpunca akibat sampah dan kekotoran yang ditinggalkan di drawbridge.
Katanya, TAFH selama ini aktif dalam aktiviti pembersihan di sekitar jambatan angkat dan pihaknya percaya sampah sarap itu berkemungkinan ditinggalkan pengunjung yang datang beriadah.
“Kawasan drawbridge menjadi tumpuan kaki pancing termasuk dari luar Terengganu kerana ikan besar sering dinaikkan di sini yang secara tidak langsung menarik pemancing profesional ke negeri kita.
“Oleh itu, TAFH memohon Datuk Bandar menarik kembali larangan tersebut dan semestinya tidak adil kepada kami yang bersama-sama menjaga kebersihan kawasan itu dengan ikhlas tanpa mengharapkan apa-apa balasan,” katanya dalam catatan yang tular dalam laman sosial hari ini.
Isu ini terus hangat diperkatakan netizen selepas gambar papan tanda larangan kedua-dua aktiviti itu tular dalam media sosial sejak semalam.
Sementara itu, pengendali laman Facebook Amazing Terengganu berkata, larangan menerbangkan dron disifatkan berundur ke belakang dan boleh merencatkan usaha mempromosikan pelancongan di negeri ini.
“Adakah ini langkah yang bijak untuk mempromosikan Terengganu? Faktor penyebab bandar raya Kuala Terengganu dihadiri pelancong dan pencipta kandungan digital adalah kerana jambatan angkat.
“Kami minta agar nilai semula. Jangan lupa peranan pilot dron yang mempromosikan lokasi ini secara percuma untuk kita negeri Terengganu,” katanya. – UTUSAN
No comments:
Post a Comment