Sunday, December 22, 2019

Umum kenaikan tahun 2020, apa sebenarnya berlaku dalam ekonomi?

Wartawan MalaysiaGazette
MGF16012019_PC-Persatuan-Pengguna-Subang-dan-Shah-Alam-CASSA_02
Jacob George
 

KUALA LUMPUR – Kerajaan diminta segera menangguhkan dahulu semua cadangan kenaikan yang diumum bakal dilaksanakan pada tahun 2020.

Sebaliknya, Kerajaan Pakatan Harapan (PH) digesa menilai semula kesempitan dan kesengsaraan rakyat yang terpaksa berdepan dengan isu kenaikan sara hidup walaupun isu ini masih gagal ditangani meskipun sudah hampir memasuki tahun kedua memerintah negara.

Presiden Persatuan Pengguna Subang dan Shah Alam, Datuk Dr Jacob George berkata, tatkala banyak graduan masih sukar mencari pekerjaan, pekerja yang diberhentikan kerana kilang atau syarikat ditutup meningkat dan pengecilan operasi oleh majikan, rakyat pula ‘dihadiahkan’ pula dengan satu demi satu kenaikan.

“Apakah yang sebenarnya berlaku dalam ekonomi negara sehinggakan rakyat dibebani dengan isu-isu kenaikan secara serentak.

“Adakah Malaysia hampir muflis? Atau inikah slogan kerajaan mesra rakyat yang dilaung-laungkan Pakatan Harapan sebelum ini, ” katanya kepada MalaysiaGazette.

Tegasnya, sedarkah kerajaan apabila satu demi satu kenaikan dibuat, Malaysia sebenarnya sedang menambah bilangan golongan rakyat miskin dan berpendapatan kecil (B40).

“Saya percaya kerajaan mahupun agensi-agensi terlibat berkaitan ekonomi tahu tentang impak negatif terhadap sebarang kenaikan cukai, harga dan perkhidmatan di Malaysia.

“Kerajaan juga tahu kenaikan gaji pekerja tidak seiring atau seimbang dengan kenaikan-kenaikan harga barangan dan perkhidmatan,” tambahnya.

Jelas beliau, golongan B40 akan terus bercambah kerana bantuan-bantuan yang diberikan oleh kerajaan tidak sepadan dengan kenaikan yang terpaksa juga diharungi oleh mereka.

Malah, golongan M40 di bandar juga semakin terhimpit dan terdedah menjadi golongan B40 kerana tidak mampu berdepan dengan kenaikan.

Oleh yang demikian, George berkata, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad perlu menghentikan sebarang kenaikan yang hanya akan menyebabkan kesengsaraan rakyat.

“Seluruh kelompok rakyat marah dengan kenaikan harga petrol RON95, cukai, harga air dan sebagainya. Pelbagai persoalan timbul berhubung polisi-polisi kerajaan.

“Kenapa kenaikan berlaku serentak, apakah rasional kenaikan yang dicadangkan, apakah mekanisme yang digunakan bagi penentuan kenaikan dan sebagainya.

“Apakah tahun 2020, tahun kenaikan untuk semuanya?

“Perjelaskan dulu persoalan-persoalan ini,” katanya sambil mencadangkan kerajaan juga sepatut menilai pelantikan jumlah barisan Kabinet, lantikan politik dalam usaha bersama-sama berjimat andainya kerajaan mengalami masalah kewangan. – MalaysiaGazette

No comments: