Saturday, December 21, 2019

Tubuh RCI rungkai misteri pembunuhan Altantuya

Manzaidi Mohd Amin
MGF07122019_PRESIDEN-PUTRA07
Dr. Ibrahim Ali


KUALA LUMPUR – Isu Akuan Sumpah (SD) bekas anggota Unit Tindakan Khas (UTK), Azilah Hadri berhubung pembunuhan model Monggolia, Altantuya Shaariibuu makin celaru dan mengundang misteri.

Justeru, Presiden penaja Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra), Datuk Paduka Dr. Ibrahim Ali menyarankan kerajaan dan restu Yang di-Pertuan Agong supaya menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat dan merungkaikan misteri itu.

Tegas beliau, penubuhan RCI adalah cara terbaik supaya dapat merungkai semua aspek kes pembunuhan Altantuya yang pastinya suruhanjaya itu adalah telus dan terbuka.

“Tidak perlu diragui kerana terkini timbul banyak persoalan dan tanda tanya mengenai SD Azilah dan Datuk Seri Najib Razak pula telah bersumpah laknat di Masjid Jamek Kampung Baru selepas solat Jumaat semalam.

“Anggota RCI pula hendaklah di kalangan tokoh berwibawa, bersih, berilmu, berintegriti dan bersifat adil serta tidak memihak.

“Kerajaan mempunyai kewajipan tanggungjawab kepada setiap rakyat dan RCI ini adalah cara terbaik menangani isu kes Altantuya. Saya mahu segerakan penubuhan RCI ini,” katanya dalam kenyataan kepada media hari ini.

Ibrahim menegaskan, walaupun kes bunuh itu sudah lebih 10 tahun berlalu dan sudah selesai menjalani perbicaraan di mahkamah, namun masih ada pihak tertentu mempolitikkannya ke tahap maksimum.

Sekarang katanya, timbul pula SD Azilah yang menjadikannya semakin kontroversi, misteri dan mengejutkan dengan pelbagai persoalan serta tanda tanya timbul mengenainya.

“Banyak perkara berbangkit perlu mendapat jawapan telus dan terbuka, termasuk pihak terlibat.
Susulan itu juga, Najib sekali lagi melafazkan sumpah laknat yang merupakan sumpah kali ketiga beliau.

Menurutnya, banyak pihak sudah mempolitikkan isu sumpah laknat itu sehingga berjangkit kepada pihak lain yang patut juga digesa melakukan perkara sama seperti Najib lakukan.

Ujar beliau, ada pemimpin Parti Amanah Negara mahu Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang turut melakukan sumpah laknat atas dakwaan menerima duit 1MDB.

“Sebenarnya, inilah wajah terburuk di mana masing-masing mempersendakan sumpah laknat demi politik bernilai 7 sen.

“Begitu busuknya hati puak ini berpolitik. Langsung tidak ada maruah dan harga diri. Tidak boleh memahami dan memisahkan perkara yang diizinkan oleh amalan dalam agama Islam dengan sifat politik murahan,” kata beliau.

Beliau berkata, golongan bukan Islam yang turut campur tangan isu sumpah laknat ini dengan jelas bersikap biadap sehingga sewenang-wenangnya mempersendakan Islam.

Katanya, Islam adalah agama way of life dan terdapat nilai hidup serta tatacaranya yang terkandung dalam al-Quran dan hadis sahih serta termaktub sebagai hukum syarak.

“Kepada pihak bukan Islam, jangan cuba mempolitik dan mencampur adukan sumpah laknat yang dilaku oleh Najib berkaitan kes pembunuhan Altantuya. Biar sama-sama kita tunggu petunjuk dari Allah,” katanya. – MalaysiaGazette

No comments: