Beberapa NGO Melayu-Islam menolak mengadakan himpunan balas secara melulu terhadap kongres yang akan dilakukan bagi membantah pengajaran tulisan Jawi di sekolah vernakular hujung minggu ini.
Sebaliknya, mereka lebih cenderung mengajak semua pihak kembali ke meja rundingan terlebih dahulu bagi mencari penyelesaian terbaik.
Menurut Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim), Muhammad Faisal Abdul Aziz, 'muafakat cara Malaysia adalah duduk bersemuka dan saling berbincang.
“Kita nak perkara ini dapat diselesaikan dengan terbaia sebelum dilanjutkan kepada kongres atau himpunan dan sebagainya.
“Kalau bagi kami, mana-mana isu pun, dalam konteks Malaysia, itulah permuafakatan yang kita sepakati dari dulu, untuk kita bersemuka, berbincang antara semua pihak, dan sama-sama saling menjelaskan tentang apa yang berlaku,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini.
Beliau diminta mengulas kemungkinan Abim mengadakan himpunan balas terhadap dua kongres yang akan dianjurkan hujung minggu ini bagi membantah pengajaran tulisan Jawi di sekolah vernakular.
Kongres Organisasi Cina dianjurkan kumpulan pendidikan Cina Dong Jiao Zong di Kolej Universiti New Era di Kajang pada 28 Disember (Sabtu), manakala Kongres Jawi anjuran Gabungan Seni Khat Action Team (Sekat) dijadualkan 29 Disember (Ahad) di sebuah hotel di Petaling Jaya.
Mengulas lanjut mengengai perkara itu, Faisal memaklumkan, dia sendiri akan terlibat dalam satu forum Jawi esok malam di Dewan Perhimpunan Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCAH), yang turut membabitkan wakil dari Dong Zong.
Berdasarkan poster forum berkenaan, ia dianjurkan oleh Gabungan Bertindak Malaysia (GBM) dan akan bermula jam 8 malam di KLSCAH.
Selain Faisal, ia turut melibatkan wakil dari Dong Zong, Ng Chai Heng; wakil Tamil Foundation, K Arumugam; wakil Ikram, Prof Badlishah Sham; Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia, Dr Habibah Abdul Rahim; dan wakil KLSCAH, Isabella Pek.
Perkara senada dikongsikan Presiden Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM), Ahmad Farhan Rosli, yang ketika dihubungi, menyatakan tidak ada perancangan untuk melakukan himpunan atau kongres balas setakat ini.
Meskipun berpandangan tulisan Jawi merupakan warisan negara yang harus dipelajari dan dipelihara oleh semua kaum, katanya, sebarang pertikaian, wajar kembali ke meja rundingan.
“PKPIM berpandangan tindakan mengadakan perhimpunan mahupun demostrasi sama ada bersifat anti-Jawi mahupun pro-Jawi hanya akan mengeruhkan keadaan.
“Semua pihak berkepentingan wajar kembali ke meja rundingan bagi memastikan pertikaian dapat diuruskan secara harmoni dan tidak mencetuskan perbalahan antara kaum.
“Justeru, PKPIM menegaskan sebarang bentuk provokasi sama ada dalam bentuk kenyataan, himpunan sidang anti-Jawi atau pro-Jawi tidak harus diteruskan sebaliknya menggesa suatu sidang melibatkan pihak-pihak bertelagah untuk duduk berbincang dan berdialog,” katanya.
Tengah hari tadi, sekumpulan NGO pro-Jawi membuat laporan polis terhadap Dong Jiao Zong di Kajang, dan meminta polis menghentikan kongres anti-Jawi berkenaan.
Malah, laporan polis itu turut menyatakan bahawa “perhimpunan” Dong Jiao Zong akan menimbulkan kemarahan orang Melayu dan boleh membawa kepada rusuhan kaum seperti yang berlaku pada 13 Mei 1969.
Bagi Presiden Pertubuhan Angkatan Gerak Minda Malaysia (Agra), Mohd Ashraf Mustaqim, meskipun menyifatkan bantahan Dong Jiao Zong terhadap pengajaran tulisan Jawi sebagai satu bentuk penderhakaan, beliau tetap mengusulkan dialog atau forum sebagai penyelesaian utama.
Beliau yang juga Biro Pendidikan Pemuda Bersatu (Armada) berkata, Agra pernah menghantar memorandum berkenaan hal sama tidak lama dahulu kepada Dong Zong, tetapi kini, ia mungkin perlu bertindak “setingkat lagi”, menerusi dialog atau forum.
“Kalau hari itu kita hanya hantar memorandum, tapi ibaratnya memekakkan telinga dan butakan mata, jadi hari ini kita ajak, jom kita berdialog.
“(Kalau masih tidak berjaya) atau satu tingkat lagi, mungkin demonstrasi besar-besaran pula. Siapa tahu? Kita tengok dulu apa mereka (anti-Jawi) nak buat,” katanya.
Pemuda PAS yang sebelum ini keras mengkritik Dong Jiao Zong sebagai biadap dan pemecah belah masyarakat, serta meminta kumpulan itu diharamkan, setakat ini juga, belum memutuskan untuk mengadakan sebarang perhimpunan balas.
Ketua Penerangan Pemuda PAS, Nazir Helmi ketika dihubungi Malaysiakini, memberitahu, sekiranya ada sebarang perbincangan dan keputusan berkenaan hal itu kelak, ia akan dimaklumkan kemudian.
Ketua Pemuda PAS, Ir Khairil Nizam beberapa hari lalu meminta Kementerian Dalam Negeri menghentikan“perhimpunan” anti-Jawi berkenaan, kerana dibimbangi mencetuskan demonstrasi balas yang boleh menyebabkan perpecahan dan mungkin menjadi rusuhan jika tidak dibendung.
No comments:
Post a Comment