Tuesday, December 24, 2019

Rumah mungkin diroboh, penduduk Kg Segambut Permai buntu

ZIKRI KAMARULZAMAN




Situasi tegang timbul antara penduduk Kampung Segambut Permai apabila pihak berkuasa datang bersama jentolak untuk merobohkan rumah mereka.

Kampung Segambut Permai terletak di atas tanah persendirian yang telah dirancang dengan pelan pembangunan.

Penduduk sepatutnya mengosongkan rumah mereka, manakala 25 keluarga pula ditawarkan kediaman sementara di Projek Perumahan Rakyat (PPR).

Bagaimanapun, penduduk mendakwa mereka belum menerima kunci kediaman tersebut.

Berdepan kemungkinan hilang tempat tinggal, penduduk hari ini buntu dengan bailif mahkamah untuk melaksanakan perobohan yang turut disokong pihak polis.
Bendahari Kehormat PSM, Soh Sook Hwa yang turut berada di kawasan itu  berkata, sebelum ini telah dipersetujui bahawa hanya rumah yang kosong akan dirobohkan.

Bagaimanapun, kata Soh, selepas rumah tidak berpenghuni dirobohkan, penduduk diberitahu rumah mereka juga akan menerima nasib sama hari ini.

Setakat berita ini ditulis belum ada kerja-kerja perobohan dijalankan tetapi menurut penduduk, empat rumah sudah dipotong bekalan air dan elektrik, dan meter rumah mereka juga sudah dibuang.

Penduduk menambah mereka tidak menerima sebarang bayaran balik bagi deposit meter elektrik mereka, sebaliknya diberitahu untuk menuntutnya di pejabat Tenaga Nasional Berhad.

Penduduk juga mendakwa kampung itu telah diteroka oleh bapa dan datuk mereka sejak 10 tahun selepas merdeka dan mempersoalkan bagaimana tanah itu boleh dijual.


Menjelaskan tentang kejadian hari ini, Anggota Parlimen Segambut, Hannah Yeoh berkata, usaha untuk mengosongkan kawasan itu telah bermula sejak zaman BN lagi.

Katanya, perintah mahkamah telah dikeluarkan pada 26 September untuk perobohan itu, tetapi pemilik tanah bersetuju menangguhkan perobohan sehingga Disember, dan dalam masa itu, sebahagian penduduk telah berpindah keluar.

Pada 9 Disember, Menteri Wilayah Persekutuan Khalid Samad campur tangan, meminta masa tambahan selama dua minggu bagi membolehkan kementeriannya mengaturkan kediaman alternatif buat penduduk yang masih kekal di situ.

Hal ini turut dinyatakan dalam perjanjian bertulis yang ditandatangani Khalid sendiri.

Tawarkan tinggal di PPR selama 6 bulan

Minggu lalu, Kementerian Wilayah Persekutuan memberi surat tawaran kepada 25 isi rumah untuk tinggal di Projek Perumahan Rakyat (PPR) selama enam bulan, dan mereka boleh melanjutkan tempoh tinggal di situ sekiranya memenuhi syarat dikenakan, iaitu berpendapatan bawah RM3,000 sebulan.

Kata Yeoh, sesetengah keluarga tidak layak kerana mereka berpendapatan lebih daripada itu.

Peguam Asheeq Ali, juga berada di kampung itu petang tadi, memberitahu kepada pihak media,
bahawa 11 keluarga tidak ada menerima tawaran PPR tersebut disebabkan cara bancian lapuk yang digunakan untuk menentukan jumlah penduduk.

Bagi yang ada menerima tawaran PPR itu pula, mereka tidak gembira dengan syarat yang hanya membenarkan mereka tinggal selama enam bulan di situ.
Ketika dihubungi, Khalid berkata kementeriannya dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah cuba membantu penduduk, sehingga melangkaui kapasiti yang sepatutnya.

“Mereka mendiami tanah persendirian, bukan tanah kerajaan. DBKL tak perlu campur tangan, tapi kami tak sanggup (melihat) keluarga itu tinggal di jalanan kerana rumah mereka dirobohkan,” katanya.

Tambahnya, meskipun terdapat 50,000 senarai menunggu untuk rumah PPR, kementeriannya membenarkan penduduk Kampung Segambut Permai memotong giliran semata-mata bagi memastikan mereka tidak hidup bergelandangan.

Beliau turut menegaskan tiada penyelesaian tetap ditawarkan kepada penduduk, memandangkan PPR bukanlah kediaman tetap yang boleh diwariskan kepada anak cucu.

Yeoh pula berkata, meskipun pihak kerajaan telah cuba sebaik yang mungkin, pihak kerajaan tidak mampu memenuhi semua permintaan penduduk.

Yeoh juga berharap agar situasi tersebut tidak dipolitikkan.


No comments: