Saturday, December 7, 2019

Ratu Malaysia tergelincir! Apa jadi dengan lantai pentas Miss Universe?

Syafik Shukri Jalil, Astro Awani
Ratu Malaysia tergelincir! Apa jadi dengan lantai pentas Miss Universe?
Shweta Sekhon tergelincir ketika menggayakan dalam acara Swim Wear pada pusingan awal Miss Universe 2019. -Foto Instagram @malaysianbeautypageantfc


MISS Universe Malaysia 2019, Shweta Sekhon tergelincir ketika menggayakan dalam acara Swim Wear pada pusingan awal Miss Universe 2019 yang berlangsung di Tyler Perry Studios, Atlanta, Georgia.

Bukan sahaja Malaysia, malah wakil Indonesia serta Perancis turut mengalami nasib sama.

Shweta yang bermula cemerlang berjaya meneruskan persembahan setelah rebah dalam aksi penuh dramatik di pentas peragaan kecil tersebut.

Beberapa laman Instagram yang menjadi pemerhati pertandingan ratu cantik menyifatkan keadaan pentas yang kecil dan licin menjadi punca kepada berlakunya kejadian itu.

Bagi Pengarah Organisasi Miss Universe Malaysia, Datin Elaine Daly, Shweta berjaya melakukan yang terbaik.

“Apa yang boleh saya katakan, Shweta telah berikan persembahan yang mantap, dia berjalan dengan penuh attitude, namun keadaan pentas yang licin menyebabkan Shweta 'tergolek', namun dia berjaya bangkit dengan cemerlang.

“Apa yang penting, Shweta berjaya serlahkan keyakinannya dengan penuh glamor, elegan dan kejadian tersebut tidak menampakkan sebarang kecacatan pada persembahannya,” ulasnya ketika dihubungi Astro AWANI.

Bagaimanapun, Shweta tidak berputus asa dan ini dibuktikan dalam pusingan Evening Gown apabila Shweta tampil lebih yakin dan bersahaja biar pun nampak sedikit berhati-hati dengan keadaan pentas.

Gaun rekaan Carven Ong nampak bersinar dan menyerlah di atas pentas, malah rata-rata pemerhati memberikan ulasan yang cemerlang terhadap persembahan Shweta.

Diharap kejadian tersebut tidak sesekali mematahkan semangat Shweta untuk beraksi dengan lebih baik dan membawa aspirasi serta hasrat rakyat Malaysia untuk merobohkan tembok penantian Malaysia selama 49 tahun melepasi peringkat separuh akhir Miss Universe.

Pentas akhir Miss Universe 2019 akan berlangsung pada Isnin ini menyaksikan pemenang akan dimahkotakan dengan mahkota yang baharu tajaan Mouawad.

No comments: