Monday, December 9, 2019

Rakyat tidak mampu, harga rumah tiga kali ganda gaji tahunan

Norlaile Abd Rahman

bank-islam-house-prices
Mengikut pengiraan teknik Median Berganda pendapatan, harga rumah adalah tiga kali ganda lebih tinggi berbanding gaji tahunan. Sumber: Bank Islam
 
KUALA LUMPUR- Kebanyakan rakyat Malaysia tidak mampu untuk membeli kediaman sendiri kerana secara asasnya harga rumah adalah jauh melangkaui kemampuan.

Menurut Ketua Pakar Ekonomi Bank Islam, Dr. Mohd. Afzanizam Abdul Rashid, mengikut teknik pengiraan pendapatan Median Berganda (MM), harga rumah adalah tiga kali ganda gaji tahunan rakyat Malaysia.

Sebagai contoh, harga purata sebuah rumah pada suku kedua 2019 adalah RM372,126 manakala gaji purata rakyat Malaysia pada 2018 adalah RM3,087 sebulan.

MGF05122019_BankIslam_04
Ketua Pakar Ekonomi Bank Islam Malaysia Berhad, Dr. Mohd Afzanizam Abdul Rashid foto NOOR ASREKUZAIREY SALIM,

Dengan itu mengikut teknik pengiraan MM, harga rumah yang mampu dimiliki untuk golongan bujang adalah RM111,132 dan RM222,264 untuk berdua (kongsi pinjaman).

Di Kuala Lumpur purata harga rumah pada suku kedua 2019 adalah RM750,000 dengan purata gaji RM4,336 sebulan pada 2018

Dengan itu, rumah yang mampu dimiliki oleh seorang individu bujang di Kuala Lumpur adalah berharga RM156,096.

Sedangkan sukar untuk mendapatkan sebuah rumah pada harga sedemikian di bandar raya ini.

Jelas Afzanizam, pengguna seharusnya membuat pernilaian mendalam sebelum memutuskan untuk membeli kediaman sendiri dan memastikan ianya tidak akan menyebabkan isu dalam pengurusan kewangan individu.

“Pada pendapat saya, pemaju perumahan mempunyai kedudukan kewangan yang kukuh dan mereka mampu untuk mengekalkan harga.

“Jadi, pembelian rumah ini adalah satu proses yang panjang, perlu ada celik kewangan dan cuba untuk menambah simpanan tunai dengan tidak berbelanja sesuka hati.

“Jangan mengharap yang anda mampu membeli rumah selepas tiga tahun menamatkan pengajian, contohnya. Ia akan mengambil masa.

“Apa yang penting adalah sentiasa menilai kemampuan kewangan, sama ada anda mampu memiliki sendiri kediaman atau hanya perlu menyewa,” katanya kepada MalaysiaGazette di sini.

Menurut Afzanizam, menyewa rumah juga merupakan salah satu opsyen yang boleh diberi pertimbangan oleh rakyat Malaysia.

Katanya, kaedah tersebut memberi lebih kebebasan kepada pengguna tanpa perlu terikat dengan banyak komitmen kewangan.

“Menyewa memberi lebih banyak fleksibiliti. Jika anda tidak suka rumah atau kawasan tersebut, anda boleh pindah.

“Boleh dikatakan, menyewa lebih bebas berbanding dengan memiliki kediaman sendiri kerana anda akan terikat dengan gadai janji jika mahu membeli rumah,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, isu lebihan bekalan hartanah dan ketidakupayaan rakyat Malaysia untuk memiliki kediaman sendiri menurut Afzanizam memerlukan masa yang panjang untuk diselesaikan kerana ia melibatkan terlalu banyak pihak. – MalaysiaGazette

No comments: