Sunday, December 8, 2019

PH bermasalah besar jika Tok Mat kemudi UMNO, BN menjelang PRU15 – Penganalisis

Wartawan MalaysiaGazette
MGF04122019_TOKMAT-PERASMIAN-SERENTAK06-1
Datuk Seri Mohamad Hasan 
 

KUALA LUMPUR – Pakatan Harapan (PH) berhadapan masalah besar jika Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan mengemudi UMNO dan Barisan Nasional serta Muafakat Nasional menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Ketua Penyelidik Ilham Centre, Dr. Mohd .Yusri Ibrahim berkata, jangkaan itu dibuat selepas meneliti dengan tekun personaliti kepemimpinan Mohamad atau lebih dikenali sebagai Tok Mat sepanjang Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2019 sehingga tamat ucapan penangguhan beliau hari ini.

“Saya boleh rumuskan, andai sosok ini memimpin UMNO, mengemudi BN/Muafakat Nasional serta dinamakan sebagai bakal PM menjelang PRU15 nanti, PH akan berhadapan dengan masalah besar.

“Namun di sebalik karakter unggul tersebut, perlu diakui bahawa Tok Mat bukanlah dalam kalangan warlord berpengaruh UMNO sekarang ini, peluangnya tidak menentu,” katanya dalam hantaran di laman Facebook Ilham Centre hari ini.

Tambah Mohd. Yusri, bagaimanapun Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau itu mungkin menghadapi laluan sukar kerana di dalam parti tersebut terdapat tiga ‘warlord’ UMNO iaitu Presidennya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi; bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan bekas Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

“Ketiga-tiga sosok ini mempunyai pengaruh paling kuat di peringkat akar umbi UMNO, khususnya di bahagian-bahagian parti itu.

“Walaupun mempunyai pengaruh kuat dalam parti, namun jika mana-mana antara tiga personel ini memimpin UMNO, mengemudi BN/Muafakat Nasional dan dinamakan sebagai bakal PM menjelang PRU15, PH akan tersenyum lebar, memudahkan tugas mereka,” ujarnya.

Katanya, Untuk menghadapi sosok Anwar Ibrahim di pihak PH, adu terbaik UMNO dan BN/Muafakat Nasional adalah Tok Mat, ADUN Rantau ini.

“Tidak perlu bersetuju dengan prediksi ini, namun boleh disimpan untuk rujukan kemudian nanti. Seperti yang sering saya catatkan, ‘let success make the noise’,” katanya. – MalaysiaGazette

No comments: