Prof Dr Ridhuan Tee Abdullah
Lambakan kelab malam, pusat judi, arak, dan yang melalaikan
KERAJAAN
jangan sama sekali tunduk desakan ultra kiasu untuk mengadakan pilihan
raya PBT. Kawasan bandar akan terus membangun tidak kira sama ada ada
pilihan raya PBT atau tidak. Ultra kiasu terus untung, yang rugi adalah
Melayu Islam. Kawasan luar bandar masih sama.
Dalam
konvensyen parti ultra kiasu bahagian Wilayah Persekutuan minggu lalu,
sekali lagi mengulangi tuntutan untuk mengembalikan pilihan raya Pihak
Berkuasa Tempatan (PBT) atau pilihan raya Kerajaan Tempatan. Contoh, PBT
adalah, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, Dewan Bandaraya Ipoh, Majlis
Bandaraya Shah Alam, Majlis-Majlis Perbandaran, Majlis-Majlis Daerah dan
sebagainya.
Kecuali satu dua bandar yang majoriti Melayu.
Belum pun pilihan raya PBT diadakan, cuba pergi buat siasatan dan tinjau siapakah ahli majlis setiap PBT hari ini. Jika dahulu, hanya ada dua tiga orang sahaja ultra kiasu. Kini, lebih separuh daripada ahli majlis PBT adalah ultra kiasu. Merekalah yang akan membuat keputusan.
Bayangkan selepas pilihan raya PBT berlangsung, sudah tentu cengkaman ultra kiasu akan menjadi bertambah hebat. Jika perkara ini dibiarkan berlaku, semakin hilang dan pupuslah identiti negara ini. Ultra kiasu mahu negara ini menjadi lebih Barat daripada Barat.
Program
atau aktiviti yang melalaikan, yang akan mencairkan dan merosakkan umat
Islam, akan diperbanyakkan. Ultra kiasu memasang strategi, jika Melayu
semakin dicairkan daripada agama, maka tercabutlah sensitiviti agama
mereka. Apabila sensitiviti agama tercabut, maka pengaruh ultra kiasu
akan semakin mencengkam.
Teori mudah, semakin orang Melayu jauh daripada agama, maka sokongan akan berpindah kepada ultra kiasu.
Perlu
diingatkan, pilihan raya PBT pernah diadakan bagi memilih ahli
jawatankuasa di peringkat daerah sebelum tahun1964. Jawatan penting
seperti Datuk Bandar, Yang diPertua Majlis dan ahli majlis berkuasa
terhadap cukai, cukai pintu dan menggubal undang-undang kecil akan
dipertandingkan.
Sistem PBT
tidak banyak bezanya dengan apa yang diamalkan di Britain. Cuma,
selepas merdeka pada 31 Ogos 1957, sistem ini diubah suai mengikut acuan
tempatan. Mereka yang menganggotai PBT tidak dipilih tetapi dilantik.
Apa yang
ultra kiasu mahukan adalah, pertama, setiap PBT hendaklah mengadakan
pilihan raya tempatan. Kedua, pilihan raya PBT mesti diadakan setiap 3
tahun sekali. Pilihan raya PBT akan dipantau atau dikendali SPR. Ketiga,
pilihan raya PBT berasaskan kepada undian majoriti mudah mengikut
kawasan zon. Keempat, parti-parti politik dibenarkan untuk bertanding
dalam pilihan raya PBT.
Bayangkan
jika ultra kiasu yang menggantikan penjawat awam ini. Saya tidak boleh
bayangkan apa akan terjadi kepada bandar raya yang sudah pun membangun.
Lambakan kelab malam, pusat judi, pusat arak, pusat maksiat dan
lain-lain pusat melalaikan. Bandar-bandar akan semakin menjauhkan diri
kita daripada Tuhan.
Sudah
tentu nama-nama bangunan dan taman-taman yang pelik-pelik akan
bercambah. Jati diri makin terhakis. Dahulu, dalam manifesto PRU14,
mereka kata, tidak mahu campur tangan dalam pentadbiran awam. Mereka
tidak mahu ganggu kakitangan pentadbiran awam.
Cakap tak
serupa bikin, buktinya, hari ini, mereka bukan sahaja mencampuri
pentadbiran awam. Ramai ahli politik ultra dilantik masuk dalam
pentadbiran awam sehingga menimbulkan keresahan penjawat awam. Ultra
kiasu mahu mengaturkan bandar raya ini.
Perlu
dingatkan, bahawa bandar raya dan bandar bukan milik penduduk yang
tinggal di bandar sahaja, tetapi ia milik semua, termasuk mereka yang
berada di luar dan masuk ke bandar, iaitu mereka yang berada di luar
bandar, bekerja di bandar.
Dalam kata
lain, dalam bandar ada ‘penghuni siang’ dan ada ‘penghuni malam’.
Penghuni siang merujuk kepada mereka yang datang ke bandar setiap hari
untuk bekerja.
Jumlah mereka ini ramai, hampir tiga kali ganda daripada penduduk yang benar-benar menetap di bandar atau ‘penghuni malam’.
Penduduk
yang benar-benar menetap di bandar, atau ‘penghuni malam’ perlu sedar
bahawa bandar atau bandaraya bukan milik mereka sahaja, milik semua.
Justeru, mereka tidak ada hak eksklusif untuk menentukan siapakah yang
layak menguruskan bandar? Termasuk ultra kiasu yang merasakan mereka
ramai. Justeru, ultra kiasu tidak ada hak untuk menentukan hala tuju
bandar atau bandar raya ini.
Benar,
ultra kiasu adalah penduduk majoriti bandar. Sebab itu, mereka menang
dalam setiap pertandingan dalam Pilihan Raya Umum (PRU) kawasan bandar.
Kemenangan yang sama akan diraihkan jika pilihan raya PBT diadakan.
Justeru,
sebelum keputusan pilihan raya PBT dibuat, kajian hendaklah dilakukan
secara mendalam, termasuk sejarah dan latar belakang sesebuah bandar
raya.
Misalnya, sejarah bandar raya Kuala Lumpur. Siapakah pengasasnya? Ultra kiasu akan kata Yap Ah Loy. Benarkah?
Bukti-bukti menunjukkan bukan Yap Ah Loy tetapi Sutan Puasa dan Raja Abdullah.
Sutan
Puasa, seorang saudagar Mandailing, merupakan individu yang sangat
berpengaruh ketika itu. Begitu juga dengan nama Raja Abdullah seperti
yang selalu disebut oleh mendiang sejarahwan negara, Khoo Kay Kim.
Penemuan
ini bercanggah dengan sejarah Malaysia menyebut Kapitan Cina yang ketiga
Yap Ah Loy adalah pengasas Kuala Lumpur (Abdul Razzaq Lubis 2018).
Sebab itu
agaknya, pada tahun-tahun 1980-an melewati bandaraya Kuala Lumpur,
terpampang semua nama jalan dalam tulisan jawi bahagian paling atas.
Selepas itu satu demi satu tercabut sehingga hilang sepenuhnya. Apabila
hilang jawi, ingatkan hanya kekal rumi, kerana itulah alternatif yang
ada.
Sebaliknya,
kita dikejutkan dengan banyak nama jalan pelik yang tidak menjunjung
jati diri negara seperti yang berlaku di Shah Alam dan di Kajang.
Nama-nama jalan terpampang dalam bahasa Cina di bahagian paling atas.
Salah siapa?
Sudah
tentu yang paling berdosa adalah PBT, kerana kamu yang meluluskan semua
nama dan papan tanda ini. Ke mana mata kamu ketika melalui kawasan ini.
Takkan buta, tidak nama nama sebesar itu?
Kadang-kadang
terfikir juga, kenapa perkara ini boleh berlaku? Apa PBT buat selama
ini dalam membangunkan bandar? Kenapa bandar tidak mempunyai jati diri?
Oh, baru
saya sedar penjawat awam yang dilantik menerajui PBT tidak lagi amanah
dengan tugasnya, mati jati diri, disogok dengan rasuah sehingga
merosakkan bandar, dan macam-macam kerosakan berlaku angkara sogokan
wang. PBT inilah yang menjadi perosak kepada hilangnya jati diri dan
identiti negara ini.
Justeru,
saya mohon kepada semua penjawat awam PBT, sebelum pilihan raya PBT
menjadi realiti disebabkan kelemahan kamu, eloklah bermula sekarang,
kamu tunjukkan bahawa kamu boleh melakukan yang terbaik seperti bandar
raya dunia yang lain. Bangunlah bandar raya dengan penuh jati diri dan
identiti.
Pada masa
sama, jika desakan pilihan raya PBT oleh ultra kiasu tidak dapat
dibendung lagi kerana ketakutan kita, maka kenakanlah syarat-syarat
untuk menjadi calon pilihan raya PBT. Antaranya, pertama, mesti fasih
bahasa Melayu. Mendapat kredit BM peringkat SPM.
Kedua,
calon PBT perlu menduduki ujian sejarah bandar dan perbandaran sesebuah
bandar yang dihuninya. Ketiga, membangunkan bandar mesti berpandukan
kepada perlembagaan yang berpaksikan kepada agama Islam dan Melayu.
Keempat,
jawi dan BM mesti didaulatkan apabila membangunkan bandar. Kelima,
pusat-pusat maksiat hendaklah dikawal pertumbuhan, bukan membiak seperti
sekarang.
Akhir
sekali, kepada Datuk Bandaraya Kuala Lumpur, bangunkanlah bandar raya
ini dengan penuh jati diri dan identiti negara. Jangan biarkan Kuala
Lumpur 24 jam, sehingga berleluasa maksiat dan kemungkaran. Pergilah ke
mana-mana bandar raya di dunia, terkemuka dunia, bandar raya mereka mati
pada waktu malam. Kenapa bandar raya kita perlu hidup pada malam?
Akhirnya, yang rosak siapa? Ultra kiasu? Atau anak-anak kita? Sama-sama
fikirkan.
*Prof Dr Ridhuan Tee Abdullah-Pusat Pengajian Teras
Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA)
No comments:
Post a Comment